Boikot produk Sweden, bantah kebiadaban mereka

AL QURAN adalah dustur rabbani yang menjadi petunjuk kepada ummat Islam di sepanjang zaman. Al Quran adalah mukjizat paling ampuh yang diturunkan untuk umat Islam dengan pelbagai gelaran, al Huda, al Bayan, an Nur, at Tibyan, as Syifa’, al Furqan, al Hakim dan pelbagai gelaran. Di zaman ar Rasul SAW, musuh Islam mencari jalan agar orang Mekah tidak mendengar al Quran diperdengarkan. Antara kaedahnya, menggunakan penghibur jahiliah, an Nadhar bin al-Harith untuk bersyair, mengalih perhatian agar tidak mendengar kalam suci.

Advertisement

Ayat-ayat Al Quran yang diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun, mengukuhkan akidah generasi awal Islam, menjulang api semangat untuk terus membela agama Allah SWT, menunjukkan kesucian dan mukjizat al Quran. Generasi para sahabat yang dijoloki sebagai jilul Quran menegakkan al Quran, bukan sekadar membaca dan menghafalnya.

Dalam sejarah Islam, merobek dan merendahkan al Quran bermakna meletakkan nyawa dalam kondisi fatal. Antaranya hujung jatuh nasib kepada an Nadhar bin al Harith, Kaab bin Asraf, Musailamatul Kazzab dan lain-lain gembong musyrikin. Musailamah yang mendakwa menerima wahyu, antaranya merekayasa surah “al fil” akhirnya dibunuh oleh Wahsyi bin Harb dalam perang Yamamah (12 Hijrah).

Al Quran tetap terpelihara dalam naungan Allah, dikawal kemuliaan oleh pembela-pembela agama terutama kerajaan Islam. Salahuddin al Ayubi menggelegak api semangat apabila Masjidil Aqsa, bahkan al Quran diperlecehkan oleh tentera Salibiyyah. Tak menunggu lama, usaha menggembleng tenaga anak-anak muda Mesir dan Syria digalang untuk mengambil kembali tanah Palestin dan memuliakan al Quran.

Begitu juga, tindakan berani dan bermaruah Sultan Abdul Hamid (II) berjaya menghentikan serangan Perancis kepada maruah ar Rasul yang mulia, maruah al Quran dengan menghentikan satu teater menghina Rasulullah SAW dan menghina al Quran. Kini episod kebiadaban politikus Sweden berulang kembali dan memicu kemarahan umat Islam seluruh dunia. Pemimpin Turki, Erdogan telah menyeru dunia Islam membuka mata akan kebiadapan Sweden ini, langkah memboikot adalah langkah yang praktikal. Juga wajib melantunkan rasa cemburu dan amarah apabila al Quran dihina oleh musuh-musuh Islam.

Sebagai membalas pengiktirafan pada tindakan membakar al Quran oleh kelompok pelampau kanan Sweden yang dibuat oleh kerajaan Sweden, maka sangat wajar umat islam memboikot segala produk dari Sweden. Bahkan wajib turun ke medan unjuk rasa, lontarkan kemarahan, berekspresi tidak gembira apabila dustur Ilahi dihina.

Elakkan membeli dan menggunakan produk buatan mereka, sehingga Sweden mengubah sikap terhadap umat Islam dan memohon maaf atas ketololan mereka, kamu sentuh kitab kami dan kamu akan membayar dengan harga yang mahal. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) serta NGO-NGO kolaborasi akan mengadakan tunjuk perasaan serta menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kerajaan Sweden.

Dr Riduan Mohamad Nor

Solat Jumaat 27 Januari 2023 di Masjid as-Syakirin KLCC, langsung berarak ke kedutaan Sweden dalam penuh semangat cintakan Islam dan al Quran. Elakkan provokasi kerana kita mahu bersolidariti dengan ikhwah kita di pelbagai belahan dunia Islam, agar lantunan suara ummah didengar dan difahami. Sebarkan maklumat akan kempen ini demi maruah al Quran. Boikot dan bantah sehingga Sweden akur dengan tuntutan umat Islam, minta maaf dan jangan ulangi kebebalan ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Pengerusi Tetap DPPM
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 24/1/2023