PAS tidak pernah amal politik wang

Merujuk kepada kenyataan Presiden UMNO yang menyebut bahawa: “Kalau dia (PAS) buat dipanggil sedekah, kalau kita (UMNO) buat dipanggil rasuah,” ternyata ianya adalah suatu kenyataan yang jelas bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar Presiden PAS.

Advertisement

Sedangkan Presiden PAS ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan semalam menyebut bahawa, undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi, tetapi jika ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri.

Adapun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau PAS sebagai sebuah parti yang bertanding.

Adalah ditegaskan PAS tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi, berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang samada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya, dan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini.

YB. Ir. Ts. Hj. Khairil Nizam Khirudin
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Jerantut