Motif lelaki 72 tahun tembak mati 10 warga emas jadi tanda tanya

Anggota polis mengawal kawasan berhampiran tempat kejadian tembakan
- Advertisement -

MONTEREY PARK, CALIFORNIA: Polis berusaha untuk mengetahui punca seorang lelaki bersenjata berusia 72 tahun melepaskan tembakan di sebuah dewan tarian yang popular dalam kalangan pengunjung warga emas dan membunuh 10 orang di situ.

Sheriff Daerah Los Angeles, Robert Luna, berkata punca di sebalik pembunuhan beramai-ramai pada Tahun Baharu Cina yang dilakukan oleh Huu Can Tran masih sukar difahami.

- Advertisement -

Pegawai polis berusaha mengenal pasti 10 mangsa yang dibunuhnya di Studio Tarian Star Ballroom di Monterey Park, kira-kira 11 kilometer timur pusat bandar Los Angeles. Seramai 10 orang lagi cedera dan tujuh dirawat di hospital.

Kira-kira 20 minit selepas Tran menembak di Monterey Park, dia memasuki sebuah lagi kelab tarian di kawasan kejiranan Alhambra. Di situ, dua orang pengunjung berjaya merampas senjata api daripada lelaki warga emas itu sebelum dia sempat melepaskan tembakan. Tran kemudian melarikan diri.

“Saya boleh beritahu anda bahawa suspek masuk ke sana, mungkin dengan niat untuk membunuh lebih ramai orang. Namun, dua orang di kelab itu memutuskan untuk bertindak dan merampas senjatanya,” kata Luna kepada wartawan dalam taklimat petang semalam.

Kira-kira 12 jam kemudian, pegawai polis di Torrance, 32 kilometer barat daya Monterey Park, menghampiri sebuah van putih yang dipandu Tran. Ketika pegawai menghampiri van, mereka terdengar satu das tembakan dari dalam apabila Tran dipercayai membunuh diri.

Luna tidak mengenal pasti mana-mana mangsa, tetapi berkata lima lelaki dan lima wanita berkenaan kelihatan berusia dalam lingkungan 50-an, 60-an dan lebih. Sheriff berkata, pistol yang digunakan Tran mungkin menyalahi undang-undang California.

“Kami ingin tahu…kami ingin tahu bagaimana sesuatu yang mengerikan ini boleh berlaku,” kata Luna.

Kejadian tembakan itu berlaku di sekitar lokasi sambutan Tahun Baharu Cina selama dua hari dengan banyak jalan di pusat bandar ditutup untuk perayaan yang menarik ribuan orang dari seluruh California Selatan.

Ketika berita kejadian itu tersebar, kebimbangan yang timbul ia membabitkan jenayah kebencian yang menyasarkan orang Asia. Bandar ini selama beberapa dekad menjadi destinasi pendatang dari China. Mengikut data banci Amerika Syarikat, kira-kira 65 peratus penduduk di sini adalah orang Asia.

Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Los Angeles, Chester Chong, menyifatkan bandar yang mempunyai kira-kira 60,000 orang itu sebagai tempat yang tenang, damai, indah dan semua orang mengenali serta membantu antara satu sama lain.

“Orang ramai menelefon saya malam tadi, mereka takut ini jenayah kebencian,” katanya.

Menurut Tiffany Chiu, 30, yang sedang beraya di rumah ibu bapanya berhampiran dewan tarian itu, tembakan itu disangkakan sesetengah pihak sebagai bunga api Tahun Baharu Cina

“Ramai orang tua tinggal di sini, selalunya sangat sunyi. Ini bukan sesuatu yang anda jangkakan di sini,” katanya – REUTERS

- Advertisement -