Membakar al-Quran menggalakkan keganasan terhadap umat Islam

Ahli politik rasis Sweden, Rasmus Paludan, berulang kali mencetuskan jenayah kebencian terhadap Islam
- Advertisement -

ANKARA: Membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turki menggalakkan keganasan terhadap orang Islam, terutama yang tinggal di Sweden.

Pengarah Komunikasi Türkiye, Fahrettin Altun, berkata Rasmus Paludan, iaitu pemimpin parti politik sayap kanan Denmark, Hard Line, dikelilingi dan dilindungi oleh polis ketika membakar al-Quran di ibu negara Sweden, Stockholm, Sabtu lalu.

- Advertisement -

Dalam temu bual dengan Akhbar Dagens Nyheter yang berpangkalan di Sweden, semalam, Altun menegaskan terdapat perbezaan antara kebebasan bersuara dan ucapan kebencian, selain menyatakan bahawa Perlembagaan Turki juga menjamin kebebasan bersuara.

“Dalam kejadian di Kristallnacht, Nazi membakar halaman kitab Torah. Adakah pihak berkuasa Sweden hari ini mentakrifkan perkara yang menjijikkan itu sebagai kebebasan bersuara?” kata Altun.

Kementerian Luar Turki sebelum ini mengeluarkan kenyataan: “Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji terhadap kitab suci kami… Membenarkan tindakan anti-Islam ini, yang menyasarkan umat Islam dan menghina nilai-nilai suci kami, dengan berselindung atas nama kebebasan bersuara tidak boleh diterima sama sekali.”

Turki juga menggesa Sweden mengambil tindakan terhadap Paludan dan mengajak semua negara mengambil langkah konkrit menentang Islamofobia.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai situasi terkini berhubung lawatan Menteri Pertahanan Sweden ke Ankara yang dirancang pada minggu ini, Altun berkata, “Menteri Pertahanan Nasional kami, Hulusi Akar, mengumumkan bahawa lawatan itu dibatalkan kerana perkembangan terkini di Sweden.

Malah, katanya mesej adalah jelas: “Tidak ada guna pertemuan itu jika Sweden tidak mengambil serius kebimbangan Türkiye.”

Dalam temu bual sebelum ini, Altun menggesa untuk membuat perbezaan yang jelas antara kegiatan politik Kurdish dan aktiviti kumpulan pengganas PKK: “Sudah tiba masa kerajaan Eropah sedar mengenai realiti aktiviti pengganas terancang PKK di bumi mereka.”

Beliau berkata, jika Sweden serius mengenai keselamatan negara mereka dan mahu menyertai NATO, mereka “mesti mengambil berat mengenai keselamatan bakal sekutu NATO mereka seperti Türkiye. Ini tidak terlalu banyak untuk ditanya. Melainkan mereka benar-benar tidak peduli”.

Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu, meninggalkan dasar berkecuali, keputusan yang didorong oleh konflik Ukraine. – TRT WORLD

- Advertisement -