Hoki Piala Dunia: Malaysia tewas kepada Sepanyol

Pemain Malaysia kelihatan kecewa selepas kecundang kepada Sepanyol
- Advertisement -

Malaysia gagal mara ke suku akhir Piala Dunia selepas tewas kepada Sepanyol 4-3 dalam penentuan `shootout’, semalam.

Kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam perlawanan sepenuh masa peringkat `crossover’ di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India.

- Advertisement -

Dalam penentuan `shootout’, ketika Malaysia dan Sepanyol terikat 3-3, Marc Miralles menjadi wira negaranya dengan menjaringkan gol kemenangan, manakala pukulan Firhan Ashaari tidak dapat melepasi penjaga gol lawan.

Pada suku pertama perlawanan, Sepanyol melakukan dua pukulan sudut penalti, iaitu pada minit pertama dan diikuti pada minit ke-12.

Namun, Malaysia dapat menangani dua situasi itu dengan baik, pukulan pertama dihalang oleh Zulpidaus Mizun dan pukulan sudut penalti kedua diselamatkan oleh penjaga gol, Hafizuddin Othman.

Pada suku kedua, Malaysia beraksi lebih baik dari segi pergerakan dan menembusi kawasan lawan. Bagaimanapun, Sepanyol mempunyai peluang terbaik pada minit ke-20 apabila Joaquin Menini melepaskan pukulan yang berjaya diselamatkan Hafizuddin dengan cantik.

Sepanyol lebih agresif pada suku ketiga melalui penguasaan bola dan sepatutnya mendapat pukulan sudut penalti ketiga. Kali ini, Hafizuddin menyelamatkan keadaan dengan menghalang pukulan Ignacio Rodriguez pada minit ke-32.

Ketika Sepanyol mengasak, Malaysia pula mendahului perlawanan apabila Faizal Saari menjaringkan gol cantik selepas menerima hantaran Faiz Helmi Jali pada minit ke-35. Walaupun mendahului perlawanan, Malaysia terpaksa bertahan dan bergantung kepada serangan balas pantas.

Pemain Malaysia mempamerkan aksi mantap menentang Sepanyol

Kebangkitan Sepanyol berbalas apabila mendapat pukulan penalti pada minit ke-40 dan Marc Miralles menjaringkan gol melalui pukulan penalti.

Beberapa saat kemudian, kealpaan pertahanan menyaksikan Malaysia bolos gol kedua apabila Xavier Gispert menjaringkan gol untuk Sepanyol.

Pada awal suku keempat, Malaysia mahu meraikan gol penyamaan apabila Amirul Hamizan Azhar menjaringkan gol hasil hantaran Faizal pada minit ke-45. Namun, jaringan itu ditolak apabila Faizal menggunakan belakang kayu hoki untuk mengawal bola apabila terjatuh.

Malaysia akhirnya mendapat gol penyamaan apabila Shello Silverius memanfaatkan kecuaian pertahanan lawan dengan menjaringkan gol pada minit ke-49.

Pada minit terakhir permainan, Sepanyol mendapat tiga pukulan sudut penalti, tetapi pertahanan negara gigih menangkis, terutama Hafizuddin yang beraksi cemerlang di gawang.

Perlawanan berakhir 2-2 dan terpaksa diputuskan menerusi penentuan `shootout’. Namun, keputusan amat menyakitkan bagi Malaysia yang akan berdepan Afrika Selatan dalam pusingan klasifikasi tempat ke-9 hingga 16. – HARAKAHDAILY 23/1/23

- Advertisement -