Klopp bersyukur walaupun Liverpool hanya seri 0-0 dengan Chelsea

Wajah hampa Jurgen Klopp selepas pasukannya hanya seri 0-0 dengan Chelsea.
- Advertisement -

Walaupun mencapai 1,000 perlawanan sejak mengendalikan The Reds, Jurgen Klopp berasa seperti berada di perlawanan pertamanya di Liverpool.

Keputusan seri 0-0 yang mengecewakan dengan Chelsea dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berbeza jauh berbanding persembahan gemilang pasukannya ketika meraih deretan piala pelbagai kejuaraan.

Tahun lalu, kelab Merseyside itu melancarkan kempen hebat untuk meraih empat trofi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

- Advertisement -

Namun, Liverpool kini menduduki tempat kelapan, manakala Chelsea di tangga ke-10, selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan. Liverpool sedang berjuang untuk mendapatkan tempat dalam empat teratas bagi meraih kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Arsene Wenger ketika perlawanan ke-1,000 tewas 6-0 (Arsenal lawan Chelsea pada 2014). Oleh itu, saya sangat gembira perkara itu tidak berlaku,” kata Klopp.

“Bagi saya, jelas dalam situasi ini, anda perlu bersedia untuk langkah kecil. . . dan ini adalah langkah kecil hari ini, begitulah keadaannya. Saya menjangkakan kemajuan dan saya fikir sejak perlawanan liga terakhir (kalah 3-0 menentang Brighton) ini adalah kemajuan, sudah pasti dan itu penting.”

Antara faktor kemerosotan mendadak Liverpool ialah akibat perpindahan Sadio Mane ke Bayern Munich, selain deretan kecederaan yang melanda bahagian depan dengan Luis Diaz, Diogo Jota dan Roberto Firmino, tidak dapat beraksi.

Pengganti Mane, Darwin Nunez tidak konsisten pada musim pertamanya dalam bola sepak Inggeris dan pemain terbaharu, Cody Gakpo, memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Virgil van Dijk adalah seorang lagi pemain penting berdepan kecederaan, manakala bahagian tengah dengan pemain semakin berusia memerlukan rombakan dan pemain England, Jude Bellingham menjadi pilihan utama menyertai pasukan Klopp.

Ini adalah musim peralihan dengan Piala FA dan Liga Juara-Juara kekal sebagai peluang terbaik Liverpool untuk memenangi pingat selepas dipintas oleh Manchester United dan Newcastle dalam liga. Kedua-dua kelab itu kelihatan mampu menamatkan saingan di empat teratas dan mungkin lebih baik. – AP

- Advertisement -