Cina Peranakan sambut Tahun Baharu berkain pelikat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pakaian hariannya dengan berkain pelikat dan baju kebaya, malah sebutan nama pun tidak berbunyi kecinaan seperti kaum Tionghua lain yang biasa kita temui.

Di Kelantan, ramai Cina Peranakan tinggal di penempatan tepi sungai sejak beratus tahun lalu. Budaya hidup mereka tidak jauh berbeza dengan orang Melayu.

- Advertisement -

Malah mereka boleh ditemui di penempatan tepi pantai Pengkalan Chepa, iaitu di Kampung Tebing Tinggi dan Pulau Gajah.

Lebih menarik lagi ada dalam kalangan berusia hampir 100 tahun. Antaranya Mek Ha, 95 tahun, Mek Yam (86 tahun) dan Che Isa (82 tahun) dari kampung Pulau Gajah. Pok Loh yang berusia 96 tahun pula tinggal di Kampung Tebing Tinggi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka.

Adun Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood berkata, mereka adalah antara orang lama dalam kalangan Cina Peranakan yang menetap di Dun Chempaka sejak zaman berzaman.

“Masyarakat Cina Kampung yang serasi dipanggil dengan nama panggilan Melayu hasil integrasi kaum antara masyarakat Melayu dan Cina

“Kehidupan harian mereka sama seperti masyarakat Melayu termasuk pakaian, masakan, bahasa dan aktiviti kerja harian.

“Namun, semua itu tidak mengubah kehidupan beragama dan kepercayaan mereka. Mereka kekal bebas beragama kerana tiada paksaan dalam Islam,” katanya di sini.

Adun Chempaka meraikan warga emas Cina Peranakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini dengan berkunjung ke rumah mereka. – HARAKAHDAILY 22/1/23

- Advertisement -