ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam termasuk 276,000 penduduk keturunan Tionghua yang tinggal di Kedah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau bertanggungjawab kepada semua 2.2 juta rakyat Kedah termasuk kaum Tionghua.
Katanya, dalam usaha memimpin kerajaan negeri tidak pernah ada dalam hati untuk membezakan, apa lagi mendiskriminasi mana-mana kaum untuk mendapat hak yang mereka layak di sisi perlembagaan.
“Saya bertanggungjawab untuk memastikan semua warga negeri ini sentiasa mendapat kehidupan yang baik, makmur dan sejahtera dalam mana-mana aspek termasuk hubungan dalam keluarga, komuniti, negeri dan negara,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Menurutnya slogan “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” yang dijunjung kerajaan negeri adalah bukti komitmen kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat Kedah tanpa meminggirkan mana-mana kaum, agama atau latar belakang.
Kata beliau, anggota Exco serta pegawai-pegawai kerajaan sentiasa melihat semua rakyat Kedah mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang dan perlembagaan serta sentiasa dihormati.
Beliau turut mengajak rakyat Kedah sama-sama mengindahkan kehidupan dalam suasana aman dan sejahtera untuk terus menikmati kekayaan negeri tersebut.
“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Tahun Arnab kepada rakan-rakan Tionghua di Kedah.
“Arnab melambangkan ketangkasan, kepantasan dan kemahiran. Arnab melambangkan tabiat semula jadi yang baik untuk kita jadikan pedoman dalam menjalani kehidupan,” ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau berkaitan cerita arnab dengan kura-kura, ada perkara yang kita tidak boleh contohi daripada arnab iaitu sikap ‘over confident’ dan memandang rendah kepada orang lain sehingga akhirnya arnab dikalahkan.
“Inilah pentingnya konsistensi dalam sesuatu pekerjaan yang kita lakukan untuk memastikan kejayaan, dan jangan sekali-kali memandang rendah pada orang lain.
“Saya melihat ada semangat permuafakatan atau kerjasama yang baik dalam budaya orang Cina untuk sama-sama naik dan berjaya.
“Marilah kita berkongsi segala nilai yang baik dari pelbagai latar belakang dan budaya bersama-sama membangunkan dan memajukan lagi negeri ini,” ujarnya.
Sanusi turut berharap setangkas arnab mampu melompat tinggi, semoga kekayaan ekonomi negeri akan melonjak tinggi di tahun baharu. – HARAKAHDAILY 21/1/23