Hentikan budaya hedonisme dan tidak patuh syariah

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak mendesak pihak berautoriti kerajaan termasuk agensi-agensi pelaksana program mengambil cakna dan bertegas dalam aspek penganjuran program yang tidak terkawal khususnya hiburan melampau yang membawa kepada kemaksiatan.

Dalam keadaan negara Malaysia belum pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19, pelbagai program karnival dianjurkan bagi memberi peluang kepada para peniaga membangunkan ekonomi namun mestilah terhindar daripada budaya hedonisme dan tidak patuh syariah.

Sudah sampai masanya, Kerajaan Negeri Perak mengambil contoh pelaksanaan garis panduan hiburan yang dikuatkuasakan di Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat lebih-lebih lagi ke arah menjayakan Perak Sejahtera 2030.

Pihak kami juga melalui platform mesyuarat atau pertemuan tertutup telah beberapa kali menyatakan bantahan termasuklah melibatkan Mr Perak 2022, Karnival Starvendors hujung tahun 2022 dan terbaru yang berlangsung di pekarangan Mydin Meru Raya pada malam ini.

DPPN Perak menentang sekeras-kerasnya penganjuran program yang mendatangkan unsur kemaksiatan yang boleh mengundang bala kepada semua. Kembalilah kita kepada fitrah dengan mengamalkan cara hidup Islam yang berlandaskan syarak, Insya-Allah selamat di dunia dan di akhirat.

“Pemuda Generasi Sejahtera”
“Demi Ummah”

Sekian, terima kasih

YB USTAZ HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
Ahli Dewan Negeri Kawasan Manjoi – HARAKAHDAILY 21/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -