HDB S’pura sertai KPKT: Teladan dari P.Pinang

- Advertisement -

MERUJUK kenyataan YB Menteri KPKT, YB Ngar Kor Ming dalam Agenda Awani, pakar dari HDB Singapura bakal menyertai KPKT dalam masa terdekat sebagai suatu berita baik. Sejauh mana kebaikan tersebut…?

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menyambut baik sebarang usaha kerajaan, khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam usaha menjamin kesejahteraan masyarakat. Pun begitu, kita perlu melihat sejauh mana manfaat kepakaran yang disebut itu bersesuaian dengan pembangunan negara kita.

Banyak persoalan yang berbangkit dari kenyataan YB Menteri tersebut apatah lagi bila disebut kepakaran itu bakal ‘menyertai’ KPKT dan ia seakan bukan sekadar usaha perkongsian. 

Saya mengambil contoh kewajaran Kerajaan Negeri Johor yang hanya mengangkat konsep Housing Development Board (HDB) Singapore dan ia dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ). Ini sekali gus memberi peranan yang tinggi kepada PKPJ dalam memastikan pembangunan yang mapan terutama penyediaan rumah mampu milik yang memenuhi permintaan.

Usaha baik ini turut dinilai sendiri oleh YAB Menteri Besar Johor yang telah mengadakan lawatan ke negara jiran itu. 

Kita perlu lebih berhati-hati berkenaan hal perumahan dan kerajaan tempatan. Dengan kerjasama ini, data rakyat Malaysia dan maklumat negara akan didedahkan kepada pihak ketiga atas alasan ‘untuk lebih memahami geografi dan sosio ekonomi rakyat Malaysia’. Adakah ini harga yang perlu dibayar kepada pihak luar dengan ‘menyertai’ kementerian berkenaan.

Maka, di manakah kewajaran membawa masuk ‘pengaruh’ negara lain sehingga ‘menyertai’ KPKT? Apakah tiada pasukan yang sepadu di peringkat KPKT atau mana-mana agensi berkaitan? Saya memberi kepercayaan kepada agensi kerajaan dan pakar-pakar dalam negara yang lebih memahami kesesuaian pembangunan dalam negara kita.

Cukuplah sekadar Singapura hilang dari genggaman orang Melayu. Namun tradisi itu kini dilihat berada di Pulau Pinang di mana orang Melayu makin terhakis tanah-tanah mereka dari bumi sendiri.

Terbaru Iszuree Ibrahim berkata sejak 2008 iaitu Kerajaan DAP Pulau Pinang setiap tahun akan menghadap PAP Kerajaan Singapura untuk mendapat nasihat membawa perancangan Divide & Rule, selepas PRU13 habis semua Kampung Melayu di Pulau Pinang ranap dan dibina kondominium. Orang Melayu terus hilang disebabkan kampung halaman sudah ranap dan orang Islam hanya mampu tengok Kondo yang tak mampu dibeli RM400,000 ke atas. 

Di mana ada kampung Melayu di situlah pemaju masuk. HDB telah lama menjadi penasihat pembangunan di Batu Kawan SPS. Menurutnya apa yang terjadi kini Menteri DAP KPKT secara terang dan terancang menjemput HDB SG masuk. Apa akan jadi dengan tanah rizab Melayu di Tanah Melayu?

Cadangan yang sebegini besar perlu dihalusi dan dibincangkan dengan selumatnya. Bukan dengan hanya mengumumkan di siaran televisyen. Dengan semangat Madani yang dilaungkan, jangan sampai negara tergadai.

USTAZ AHMAD NAWFAL DATO’ MAHFODZ
Ketua Pemuda
PERIKATAN NASIONAL Negeri Johor
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 21/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -