Stesen kereta api baharu Bangkok mula beroperasi

Stesen kereta api baharu Bangkok mampu kendalikan 600,000 penumpang sehari.
- Advertisement -

BANGKOK: Thailand memulakan era baharu pengangkutan awam apabila stesen kereta api terbesar di Asia Tenggara mula beroperasi secara rasmi, semalam.

Kerajaan Thailand menyatakan bahawa pembangunan moden bernilai AS1 bilion (RM4.3 bilion) di pinggir pusat bandar raya ini akan mengukuhkan kedudukan negara itu sebagai hab serantau pengangkutan kereta api dan meningkatkan ekonomi.

- Advertisement -

Stesen itu secara rasmi dipanggil Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat, nama yang dianugerahkan oleh Raja Thailand. Namun bagi kebanyakan orang, terminal itu lebih dikenali sebagai Stesen Besar Bang Sue.

Menurut Pengarah Operasi Trafik Kereta Api Thailand, Takun Indarachome, kos AS$1 bilion itu meliputi pembinaan stesen, landasan kereta api bertingkat dan stesen penghubung untuk sistem transit massa Bangkok.

Hampir semua perkhidmatan kereta api domestik dan antarabangsa jarak jauh Thailand akan melalui terminal baharu itu yang kerja pembinaan bermula 10 tahun lalu. Kereta api pertama keluar dari stesen baharu itu menuju ke Sungai Kolok, di sempadan selatan Thailand dan Malaysia.

Namun ramai rakyat Thailand merungut kerana kerajaan mengenepikan terminal lama, Stesen Hua Lamphong di pinggir Chinatown di tengah-tengah ibu negara.

Stesen klasik itu dengan ruang menunggu bersiling tinggi, menjadi tuan rumah kepada generasi pengembara, pekerja luar bandar yang mencari pekerjaan di bandar serta pelancong yang menuju ke selatan untuk bersantai di pusat peranginan terkenal.

Bagaimanapun, tidak semua nostalgia hilang ditelan pembangunan. Beberapa laluan tempatan dan ke arah timur masih melalui stesen lama itu. Ketika ini, sekurang-kurangnya 62 kereta api akan menggunakannya setiap hari.

Pembinaan terminal baharu itu bertepatan dengan projek utama memperluaskan rangkaian rel di Thailand dan negara lain di Asia Tenggara, sebahagian besar dirangsang oleh inisiatif infrastruktur China serta teknologi rel berkelajuan tinggi negara itu.

Penumpang akan menemui stesen empat tingkat seluas hampir 30 hektar. Ramai warga Bangkok sebenarnya sudah biasa dengan stesen itu kerana ruang legar yang luas digunakan sebagai tempat utama untuk program vaksinasi Covid-19 percuma kerajaan, tahun lalu.

Ruang Stesen Besar Bang Sue cukup luas dan selesa

Kereta api akan datang dan pergi di 24 landasan di 12 platform, dengan stesen itu mampu menguruskan sehingga 40 tren pada masa yang sama. Pada waktu puncak, stesen ini boleh mengendalikan sehingga 600,000 penumpang sehari, lebih 10 kali ganda berbanding kapasiti Stesen Hua Lamphong.

Di bilik kawalan ultra moden Bang Sue, sekumpulan panel dan skrin mengawasi operasi memastikan semua berjalan lancar. Video dari lebih 120 kamera keselamatan dipantau menggunakan Kecerdasan Buatan (AI). Di kawasan awam, robot pintar membantu penumpang yang bingung dan kerusi roda pintar boleh membawa Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa bantuan manusia.

“Hari ini adalah hari pertama selepas mereka memindahkan perkhidmatan dari Hua Lamphong. Ramai belum mengetahuinya, jadi tempat itu kelihatan kosong,” kata Theerawat Peangda yang sedang menunggu untuk menaiki kereta api ke selatan. “Tetapi Saya rasa stesen ini ok, sangat bagus dan mudah.”

Sebaliknya, Hua Lamphong lebih melihat masa lalu daripada masa depan. Stesen yang direka oleh arkitek Itali dan dibuka pada tahun 1916 adalah untuk zaman lalu yang lebih mudah. Untuk sementara waktu, taraf stesen ini akan diturunkan menjadi muzium.

“Saya tidak mahu mereka memindahkan stesen ini. Saya lebih suka tinggal di sini,” kata Prathuang Ruengsamut, 68, ketika menunggu kereta api di Hua Lamphong. “Mereka hanya perlu ubah suai sedikit tempat ini dan ia akan baik-baik saja.”

Perasaan sayang mendalam terhadap stesen lama mungkin telah menyelamatkannya. Apabila usaha dibuat untuk merobohkannya, orang ramai membantah dan kerajaan terpaksa akur.

“Jika mereka tutup dan menjadikannya muzium, ia akan menjadi tidak bermaya. Tetapi jika kita membiarkan orang ramai menggunakannya, ia adalah lebih baik,” kata Thanong Thooptian, 61, yang kerap menaiki kereta api dari Hua Lamphong. – AP

- Advertisement -