Samun: Warga emas disyaki dibunuh di rumahnya

- Advertisement -

JASIN: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, di sini awal pagi tadi.

- Advertisement -

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, polis menemukan mangsa Misah Md Amin, 91, yang tinggal seorang diri dalam keadaan terbaring di bahagian dapur.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin ACP Mohd Fadzli Othman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada jiran mangsa kira-kira 3.54 pagi.

“Warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Jasin bagi proses bedah siasat. Punca kematian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata bertindak atas maklumat awam, polis berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 20 tahun di kawasan berhampiran kira-kira enam jam kemudian.

Katanya suspek yang merupakan seorang penganggur mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak serta samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

- Advertisement -