Ronaldo, Messi bertemu semula dalam perlawanan sembilan gol

Aksi Messi dan Ronaldo dalam perlawanan pertunjukan di Riyadh.
- Advertisement -

Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi membawa peminat kembali ke zaman ketika kegemilangan persaingan mereka apabila kedua-dua penyerang menjaringkan gol dalam perlawanan pertunjukan semalam yang berakhir dengan PSG menewaskan Pasukan Pilihan Riyadh 5-4.

- Advertisement -

Walaupun perlawanan ini mungkin tidak begitu penting untuk pasukan yang terlibat, peminat bola sepak di seluruh dunia terhibur dengan kisah yang mendominasi sukan ini selama lebih sedekad yang berakhir dalam pesta gol yang tidak dapat dilupakan.

Dalam perlawanan babak pertama penuh aksi di Stadium Raja Fahd di Riyadh, gol Messi dan Marquinhos dibalas dengan dua jaringan Ronaldo. Pemain PSG, Juan Bernat, pula dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras ke atas pemain antarabangsa Arab Saudi, Salem Al-Dawsari.

Kedua-dua pasukan mempamerkan prestasi hebat pada babak kedua, tetapi jaringan Ekitike pada minit ke-78 akhirnya memisahkan kedua-dua pasukan.

“Kami menyaksikan banyak gol dalam stadium yang menakjubkan dengan suasana luar biasa,” kata jurulatih PSG Cristophe Galtier.

“Kami bermain di stadium yang meriah dengan sorakan gemuruh. Saya menikmati cara mereka memberi penghormatan kepada ramai bintang di padang.”

Dihiasi kit hitam dan emas baharu, PSG memulakan permainan dengan cemerlang, mendahului seawal minit ketiga hasil penyudah hebat Messi.

Melalui gerakan Neymar, Messi meledakkan bola melepasi penjaga gol Mohamed Al-Owais, yang kali terakhir dihadapinya ketika Arab Saudi menang mengejut ke atas Argentina pada Piala Dunia Qatar, November lalu.

Walaupun ketinggalan, Pasukan Pilihan Riyadh yang menggabungkan gabungan pemain Liga Profesional Arab Saudi dari kelab Al Nassr dan Al Hilal, mempunyai banyak peluang.

Ronaldo yang sentiasa memberikan ancaman memenangi penalti apabila penjaga gol, Keylor Navas, menerpanya. Walaupun kelihatan lebam pada pipinya akibat perlanggaran itu, Ronaldo bangun untuk menjaringkan gol melalui sepakan penalti dengan tenang.

Bernat dilayangkan kad merah sejurus selepas gol penyamaan, tetapi kelab Ligue 1 itu bertindak balas dengan baik apabila menjaringkan gol menerusi pertahanan Marquinhos.

Namun, pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Ronaldo sekali lagi menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama. Selepas rehat, giliran Ramos menjaringkan gol untuk PSG sebelum pemain Korea Selatan Jang Hyun-soo membalas dengan tandukan untuk menjadikan kedudukan 3-3.

Bola yang terkena tangan Ali Al-Bulaihi memberikan penalti kepada pelawat yang dijaringkan oleh Mbappe yang juga sumbangan terakhir pemain Perancis itu yang dikeluarkan tidak lama kemudian, bersama rakan sepasukan Messi dan Neymar serta Ronaldo.

Ekitike kemudian melebarkan pendahuluan PSG kepada 5-3 dengan penyudah memberangsangkan sebelum Anderson Talisca menjaringkan gol sagu hati untuk pasukan tuan rumah pada masa tambahan.

Walaupun tidak dapat memulakan episod baharunya di Arab Saudi dengan kemenangan, Ronaldo yang berusia 37 tahun kelihatan bersedia untuk membuat penampilan kompetitif pertamanya untuk Al Nassr apabila berdepan Al Ettifaq, Ahad ini. – REUTERS

- Advertisement -