Realiti prestasi PAS depani cabaran persepsi

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH semalam saya telah menunaikan jemputan untuk merasmikan Mesyuarat Agong Cawangan-cawangan PAS di DUN Kota Putera, Besut, Terengganu.

- Advertisement -

Jemputan telah disampaikan oleh YB Tn Hj Nurkhuzaini, ADUN atau Pengarah MTD Kota Putera yang juga merupakan anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Kehadiran saya turut disambut Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Al Fadhil Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Parlimen Besut adalah satu satunya kerusi Parlimen yang masih dimiliki Umno sebelum PRU15. Dalam PRU15 yang lalu, PAS telah memenangi kesemua 8 kerusi Parlimen di Terengganu dengan majoriti terendah sekitar 15,000 di Parlimen Hulu Terengganu dan majoriti tertinggi hampir 42,000 di Parlimen Marang.

Kemenangan di Parlimen Besut adalah satu kejutan lebih-lebih lagi dengan kemenangan besar dengan majoriti lebih 18,000. Peti undi di Kota Putera menyumbang lebih 7,000 kepada jumlah majoriti tersebut.

Dalam ucapan saya kepada kesemua yang hadir saya memetik tazkirah yang telah disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin pada penutup Pemukiman PAS Pusat yang berlangsung minggu yang lalu di Kuala Terengganu.

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin telah menyeru setiap anggota PAS supaya meningkatkan takwa dan tawakal dalam meneruskan perjuangan. 

Beliau memetik  Firman Allah S.W.T:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Saya mengajak semua untuk bekerja lebih gigih dalam menterjemahkan kepimpinan Islam yang dimaksudkan memberikan kesejahteraan kepada negara dan rakyat. Kita berdepan dengan suasana yang berbeza. 

Semua tahu bahawa PAS adalah sebuah parti yang sudah lama bertapak, mempunyai asas akar umbi yang kuat, jentera yang hampir menyeluruh di seluruh negara. 

Cuma selama ini momokan dan ejekan yang kita terima adalah walaupun ahli ramai, jentera ada tapi sokongan tak ke mana, menang kerusi Parlimen tak banyak.

Kali ini PAS dengan ahli ramai, penyokong ramai, akar umbi kuat, jentera tersusun, bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi adalah paling besar sebanyak 43 kerusi Parlimen. 

Ini mengatasi Umno yang hanya menang 26 kerusi Parlimen, PKR 33 kerusi malah DAP yang merupakan pemilik kerusi Parlimen paling besar dalam Pakatan Harapan dengan 40 kerusi Parlimen. DAP kini dah jadi kawan Umno, disokong Umno.

Ada jurang persepsi dengan realiti yang perlu diperbaiki segera yang dihadapi oleh PAS dengan kedudukan kerusi yang besar.

Rakyat ditakut-takutkan dengan konon gelombang hijau yang diberi gambaran menakutkan dengan istilah ‘Taliban’, ekstrem agama, mundur, tidak meraikan kepelbagaian kaum dan agama.

Ini sebenarnya bertentangan dengan realiti prestasi PAS di negeri-negeri yang ditadbir yang menunjukkan pentadbiran yang bersih dan berintegriti, menjaga keharmonian kaum malah berusaha pelbagai cara untuk meyakinkan kaum bukan-Melayu atau bukan-Islam bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan. 

Malah dibuktikan dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih baik mengatasi negeri-negeri lain yang bukan bawah PAS, pentadbiran yang telus, agihan bantuan yang tiada diskriminasi kaum, agama dan fahaman politik, kedatangan pelancong yang tinggi menidakkan imej negatif yang cuba menakutkan kehadiran pelancong, keselamatan dengan indeks jenayah antara terendah, indeks kebahagiaan rakyat yang tertinggi berbanding semua negeri di Malaysia, pelaburan masuk yang tinggi, pelaporan kewangan yang telus, sifar rasuah.

Hak bukan-Islam dihormati dan diberi ruang. Kesejahteraan keseluruhan rakyat diutamakan. Semua ini masih tidak dapat dikomunikasikan dengan baik dan maklumat tidak sampai kepada keseluruhan khususnya bukan-Islam.

Islamofobia ini perlu diuruskan dengan baik dan semua peringkat ahli parti perlu memainkan peranan.

Di penutup saya menyeru supaya usaha dilipatgandakan agar Pilihan Raya Negeri Terengganu yang akan berlangsung tahun ini mencatatkan kemenangan yang lebih besar.

Saya tidak menolak kemungkinan perubahan di Putrajaya boleh berlaku dengan keadaan prestasi kerajaan yang ada dan senario politik semasa yang masih tidak stabil dengan pelbagai situasi di Sabah, konflik dalaman Umno yang semakin merebak dan keyakinan rakyat yang semakin kecewa kelihatannya apa yang dijanjikan indah khabar dari rupa.

Insya-Allah PAS akan memainkan peranan sebaiknya sama ada bukan sebagai kerajaan atau jika kembali ke Putrajaya.

DATUK AHMAD AMZAD HASHIM – HARAKAHDAILY 20/1/2023

- Advertisement -