Masalah dalaman Umno bantu kekal gelombang hijau

- Advertisement -

MACHANG: Isu politik yang berlaku sekarang dianggap mampu memberi nilai tambah bagi menyemarakkan lagi gelombang hijau seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Ketua Armada Nasional Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, gelombang itu mampu membantu PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Katanya, perkembangan yang berlaku terutamanya masalah dalaman Umno boleh membantu PN bagi mengekalkan momentum gelombang hijau yang berlaku pada PRU15.

“Senario politik yang berlaku di peringkat nasional ketika ini sebenarnya membantu kami bagi mengekalkan sokongan orang Melayu.

“Malah kalau dilihat setelah hampir dua bulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara banyak janji tidak dilaksana walaupun membuat pelbagai janji,” katanya pada majlis serahan limau kepada masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kampung Mata Air Pulai Chondong di sini.

Turut hadir Adun Pulai Chondong Azhar Salleh dan pemimpin masyarakat tempatan.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kebanyakan orang Melayu tidak dapat menerima penggabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas PRU15.

“Lebih-lebih lagi Umno mengekalkan pemimpin yang terlibat dengan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dilihat akan menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan PH-BN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/1/23

- Advertisement -