Mahkamah Persekutuan batal kebenaran merancang perumahan di lereng bukit

Foto hiasan.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Penghuni sebuah kondominium di Sungai Ara, Pulau Pinang hari ini memenangi rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang memberikan kebenaran merancang kepada pemaju hartanah untuk membina perumahan di lereng bukit.

- Advertisement -

Keputusan sebulat suara itu disampaikan secara dalam talian oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim Besar Malaya yang baru dilantik Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Hakim Nallini yang menyampaikan keputusan mahkamah, memutuskan bahawa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi kebenaran merancang untuk diberikan kepada pemaju dan pemilik tanah berkenaan, Sunway City (Penang) Sdn Bhd adalah ultra vires dan terbatal.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dalam mengekalkan keputusan PBT untuk memberikan kelulusan merancang,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Sunway City dan MBPP membayar kos keseluruhan RM300,000 kepada penghuni kondominium Sunrise Garden.

Hakim Nallini berkata di bawah Seksyen 22 (2A) (c) Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA) 1976, jawatankuasa perancang negeri, dalam mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang, bertanggungjawab untuk meminta nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) apabila permohonan itu melibatkan pembangunan yang menjejaskan lereng bukit di kawasan yang ditetapkan sebagai sensitif alam sekitar dalam pelan pembangunan.

Beliau berkata pembangunan yang melibatkan lereng bukit bukan lagi sekadar isu tadbir urus tempatan atau negeri semata-mata tetapi juga isu persekutuan dan nasional.

Sehubungan itu, beliau berkata PBT selaku entiti yang bertanggungjawab mengeluarkan kelulusan perancangan bertanggungjawab mematuhi peruntukan TCPA.

MBPP meluluskan permohonan Sunway City pada 21 Feb 2012, untuk kebenaran merancang bagi membina 600 unit rumah termasuk 13 blok kondominium dan banglo tiga tingkat atas tanah seluas 32.69 hektar, yang 43 peratus terdiri daripada tanah bukit.

Kedudukan tapak itu melebihi 76 meter dari aras laut dengan kecerunan melebihi 25 darjah.

Penduduk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Pulau Pinang dan pada 20 Nov 2015, lembaga itu mengetepikan kebenaran merancang yang diberikan kepada Sunway City.

Sunway City, kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dengan menamakan lembaga Rayuan, MBPP dan penduduk sebagai responden.

Pada 29 Mei 2017, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada pemaju dan membatalkan keputusan Lembaga Rayuan.

Penduduk kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi rayuan mereka ditolak pada 7 Mei 2021, menyebabkan mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada prosiding hari ini, sepasukan peguam diketuai Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili penduduk manakala peguam Christina Siew bagi pihak Sunway City dan peguam Karin Lim Ai Ching mewakili MBPP. – BERNAMA

- Advertisement -