Idris, MDK bincang pembangunan di daerah Kerian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Majlis Daerah Kerian (MDK) di Parit Buntar, hari ini,

- Advertisement -

Turut Bersama beliau ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Misbahul Munir, ADUN Selinsing, Ustaz Sallehuddin Abdullah dan ADUN Titi Serong, Ustaz Hakimi Hamizi.

Menurutnya, kunjungan hormat itu melibatkan Yang Dipertua dan Setiausaha MDK, Helmi Yusof @ Jusoh dan Norhafizah Mohamad bersama-sama ketua jabatan.

Katanya, pertemuan itu penting bagi membina kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak sama ada di peringkat MDK mahupun wakil rakyat.

“Saya tegaskan, pihak MDK dan wakil rakyat mesti ada kesepaduan dalam setiap gerak kerja demi membentuk hasil yang memberangsangkan khususnya untuk warga Kerian,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Tambahnya, antara perkara yang telah dibincangkan adalah isu tapak pelupusan sampah, isu ketidakpatuhan pada syarat dan undang-undang kecil MDK, isu pelanggaran syarat penggunaan di kawasan bahu jalan dan rizab jalan.

“Kami turut membincangkan mengenai pembangunan yang sedang diusahakan di daerah Kerian termasuklah Dataran Kerian Permai yang bakal memberi manfaat kepada para peniaga dan orang awam.

“Menerusi pertemuan ini, kami bersetuju dan menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh MDK terutama sekali berkaitan peningkatan tahap kebersihan, pengurusan sisa pepejal dan program kitar semula e-waste,” katanya lagi.

Idris juga turut mengemukakan persoalan dan pandangan mengenai daerah Kerian yang merupakan jelapang padi bagi negeri Perak.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, ini agar setiap pembangunan yang dilaksanakan di kawasan itu tidak mengurangkan atau menjejaskan kawasan sawah padi.

“Jutaan ucapan terima kasih saya zahirkan kepada pihak Majlis Daerah Kerian atas kesudian menerima kunjungan hormat daripada kami,” ujarnya.

Beliau berharap semoga usaha kerjasama dan dan jalinan ukhuwah akan dapat diteruskan demi mencapai satu kesepakatan dalam setiap urusan demi kesejahteraan warga Kerian. – HARAKAHDAILY 20/1/2023

- Advertisement -