UK lebih sejuk daripada Alaska: Lapangan Terbang Manchester ditutup

Sebuah kapal terbang dilitupi salji tebal di Lapangan Terbang Manchester, Britain pada pagi Khamis, 19 Jan 2023. (FOTO Yahoo Sports)
- Advertisement -

LONDON: Salji yang melanda setinggi 10 inci pada pagi hari ini, Khamis (19 Jan) dengan suhu serendah -10 darjah Celcius (°C) menjadikan United Kingdom kini lebih sejuk daripada Alaska, memaksa Lapangan Terbang Machester ditutup kepada umum.

- Advertisement -

Melalui amaran yang dikeluarkan melalui Twitter Lapangan Terbang Manchester pada hari ini menegaskan bahawa berikutan salji lebat, pihaknya terpaksa menutup kedua-dua landasan kapal terbang daripada beroperasi buat sementara waktu.

“Kesihatan dan keselamatan orang ramai akan sentiasa menjadi keutamaan kami dan operasi akan disambung semula secepat mungkin.

“Penumpang dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat penerbangan yang paling terkini,” jelas kenyataan itu.

Sebuah bas yang membawa 70 penumpang terbalik di atas jalan raya berais di laluan A39, Somerset pada 17 Jan 2023. (FOTO: Daily Mail.co.uk)

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah permulaan cuaca sejuk dan membeku di banyak tempat di Britain pagi Khamis ini, dengan suhu menurun kepada -4°C atau -3°C di pekan dan bandar, malah menjunam sehingga -8°C di beberapa kawasan luar bandar.

Suhu paling sejuk direkodkan di Drumnadrochit berhampiran Inverness yang mencecah -10.4°C pada awal pagi Khamis.

Suhu beku itu dijangka kekal untuk beberapa hari akan datang di beberapa bahagian negara  khususnya di Scotland, walaupun bacaan suhu merkuri dijangka akan meningkat pada hujung minggu;dan bahkan mencapai dua angka di beberapa kawasan, lapor Mirror UK.

Terdahulu, terdapat amaran kuning Met Office UK bahawa ais dan salji pada Khamis (19 Jan) yang berlangsung sehingga tengah hari di utara Scotland, barat laut England, Wales dan Ireland Utara juga boleh mencecah suhu -10°C.

Suhu paling sejuk mencecah – 10.4°C direkodkan di Drumnadrochit berhampiran Inverness pada awal pagi Khamis, 19 Jan 2023 (FOTO: Mirror UK).

“Hujan musim sejuk membawa gangguan selanjutnya daripada ais dan salji. Sesetengah jalan raya dan rel kereta api terjejas dengan masa perjalanan yang lebih panjang melalui perkhidmatan jalan raya, bas dan kereta api,” ujar kenyataan itu

Met Office UK juga mengumumkan amaran kewujudan ais barat daya England sehingga jam 10 pagi hari ini.

Peramal cuaca di saluran BBC, Nick Miller dalam laporannya berkata, hujan musim sejuk merentasi bahagian utara dan barat UK, menjadikan beberapa kawasan terutama di tempat tinggi dilitupi salji tebal.

“Walaupun hari telah cerah kembali, namun ia tidak mencairkan fros dan kami jelas berada dalam udara yang sangat sejuk,” ujarnya. 

Peta amaran fenomena salji dan ais di United Kingdom antara 18 hingga 19 Jan 2023. (FOTO: Mirror UK)

Peta daripada WXCharts menunjukkan suhu menurun kepada -8°C di Scotland dan -5°C  di utara barat England, dibandingkan dengan Alaska di mana bacaan suhu merkuri akan berada di sekitar -4°C pada hari ini, Khamis (19 Jan).

Amaran cuaca sejuk tahap tiga juga telah dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Kesihatan UK, memberi amaran tentang keadaan yang ‘boleh meningkatkan risiko kesihatan kepada pesakit yang terdedah dan memerlukan bantuan perkhidmatan perubatan’, yang diaktiflkan sehingga  jam 9 pagi esok, Jumaat (20 Jan).

Jurucakap pengangkutan untuk Persatuan Kerajaan Tempatan, David Rennard berkata,: “Apabila suhu mula menjunam sekali lagi, pihak kami  bersedia untuk bekerja sepanjang masa untuk menggali jalan-jalan raya dan turapan untuk memastikan orang ramai sentiasa selamat dan komuniti tempatan boleh keluar-masuk dari kediaman mereka.”

Lapangan Terbang Manchester ditutup bermula pagi hari ini, Khamis 19 Jan 2023 susulan dilanda salji tebal. (FOTO: Mirror UK)

Pada Selasa (17 Jan) lepas, suhu menjunam serendah -9.8°C di Topcliffe, Yorkshire Utara, semalaman apabila cuaca sejuk berterusan.

Bacaan suhu serendah -8.7°C pula direkodkan di Eskdalemuir di Dumfries dan Galloway, Scotland, -8.4°C di Katesbridge, County Down, Ireland Utara dan -7.7°C di Sennybridge di Powys, Wales.

Sementara itu, sebuah bas dua tingkat yang membawa 70 pekerja binaan ke tapak stesen janakuasa Hinkley Point C dilaporkan terbalik di laluan A39, Somerset selepas berlanggar dengan sebuah motosikal pada 17 Jan lepas, akibat jalan raya licin dilitup ais salji.

Keadaan berbahaya di Somerset itu menyaksikan lebih 100 kemalangan kereta dalam masa beberapa jam sahaja kerana pemandu bergelut untuk mengatasi penurunan suhu mendadak ke paras di bawah paras beku yang kini menjadikan United Kingdom kini, lokasi yang lebih sejuk berbanding Alaska. – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -