Kenyataan PKR ‘kosong’, hina pengundi muda

- Advertisement -

PEMUDA PAS Negeri Selangor terus komited dengan kerja-kerja menawan Negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri yang akan datang. Ia selaras dengan kesungguhan dan keseriusan kenyataan dari Pesuruhjaya PAS Selangor, YB Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

- Advertisement -

Pemuda PAS Negeri Selangor juga menempelak kenyataan dari Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Selangor, Adzman Kamaruddin yang jelas menghina tahap intelek pengundi muda khususnya dalam PRU15 ekoran pengundi muda memihak kepada PERIKATAN NASIONAL yang menyaksikan kerusi PAS di peringkat Parlimen keseluruhannya melebihi 40 kerusi dan ia merupakan sejarah terbaik buat PAS. 

Khususnya di Selangor pengundi dipandu dengan ilmu serta nasihat-nasihat yang bermanfaat di dalam khutbah Jumaat yang disampaikan setiap minggu yang bersifat menyatu padukan ummah.

Hakikatnya pimpinan PH sedar akan gelombang anak muda khususnya menerusi media sosial yang bangkit memilih PN berbanding PH mahupun BN dalam PRU15 yang lalu. Kita boleh lihat ucapan pimpinan PH yang terus-menerus memperlekeh intelek pengundi muda khususnya pengundi kali pertama kalangan 18 tahun dan ke atas. Sedangkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun telah dibahas panjang dalam Parlimen dan mendapat persetujuan serta sokongan bagi usul tersebut. 

Pemuda PAS Negeri Selangor yakin bahawa pengundi muda memiliki akses mendapatkan liputan yang lebih meluas selari perkembangan teknologi dunia menerusi medium media sosial. Malah di zaman ini umur 18 tahun berbeza dengan generasi terdahulu dari segi memperolehi maklumat kerana maklumat lebih terbuka luas. 

Jika dahulu pada PRU14, PH berjaya mengaburi pengundi dengan naratif jahat namun pada PRU15 kali ini pengundi lebih matang dalam saringan maklumat yang akhirnya dahulu dilihat PH seakan menguasai naratif di media sosial namun kini sebaliknya.

Pemuda PAS Negeri Selangor juga menempelak kenyataan Adzman Kamaruddin yang kononnya menjadikan Selangor di era pentadbiran PH lebih baik dari negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS. Sedangkan maklumat kejayaan PAS sama ada dari segi pembangunan baharu, peningkatan pelabur, ketelusan dalam perbelanjaan tanpa kes rasuah serta pembangunan modal insan jelas membuktikan bagaimana PAS menerapkan keseimbangan dunia dan akhirat dalam politik Islam yang diamalkan. 

Mungkin Adzman Kamaruddin tidak baca laporan akhbar melainkan hanya baca portal yang hanya papar berita hasutan, dengki dan omongan kosong dari pimpinan mereka sahaja. Bacalah juga semua portal berita, jangan malas! 

Akhir sekali, Pemuda PAS Negeri Selangor menyatakan kesiapsiagaan pada bila-bila masa menghadapi PRN khususnya negeri Selangor. Insya-Allah kita yakin gelombang sekarang ke arah PERIKATAN NASIONAL dalam PRU15 akan diteruskan dalam Pilihan Raya 6 negeri akan datang ini termasuk di Negeri Selangor. Insya-Allah kami siap siaga menawan Selangor!

MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -