Jaringan Faizal bantu Malaysia kalahkan New Zealand 3-2

Foto daripada Facebook Hockey India.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jaringan Faizal Saari membantu Malaysia meraih kemenangan 3-2 ke atas New Zealand, sekali gus boleh menjangkakan laluan lebih mudah ke suku akhir kejohanan hoki Piala Dunia 2023.

- Advertisement -

Pada perlawanan terakhir kumpulan C di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India hari ini, Speedy Tigers terlepas peluang menjaringkan gol awal apabila pukulan rendah sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim terkena penjaga gol New Zealand Dixon Dominic pada minit ketujuh.

Bagaimanapun, sentuhan mudah Faizal, 32, selepas menerima lorongan dari Shello Silverius berjaya meletakkan Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia di hadapan skuad Black Sticks pada minit kelapan.

Selepas kedua-dua pasukan tidak berjaya menghasilkan sebarang jaringan pada suku kedua, Muhammad Razie menyempurnakan pukulan sudut penalti sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-42.

Percaturan strategi pasukan di ranking kesembilan dunia yang membiarkan gol mereka tanpa penjaga bagi menambah tenaga pemain dalam padang ketika permainan berbaki 10 minit ternyata berhasil apabila meledakkan dua gol dalam tempoh dua minit.

Jaringan pertama New Zealand pada minit ke-51 diperoleh melalui gol padang Phillips Hayden diikuti pukulan sudut penalti yang disempurnakan Lane Sam seminit kemudian.

Faizal muncul wira Speedy Tigers apabila menjaringkan gol kemenangan menewaskan Dominic empat minit sebelum wisel penamat.

Malaysia memulakan kempen kumpulan C dengan tewas 4-0 kepada juata tiga kali Belanda, sebelum melakar kemenangan 3-2 ke atas Chile.

Pencapaian terbaik skuad hoki kebangsaan pada saingan Piala Dunia apabila menduduki tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Ketua jurulatih kebangsaan, A. Arul Selvaraj berkata kemenangan kedua berturut-turut dalam Piala Dunia, adalah penting bagi pasukannya untuk meningkatkan keyakinan diri dan motivasi mereka.
          “Kita bermain dengan tenang dan sabar, tetapi dengan kepercayaan yang tinggi untuk menjaringkan dua gol awal serta gol kemenangan. Hari ini saya bangga dan gembira kita dapat menjaringkan gol sudut penalti selepas berlatih bersungguh-sungguh semalam.

“Saya mahu pemain fokus kepada pemulihan dan menikmati kemenangan, tanpa terlalu memikirkan siapa yang kita akan lawan. Esok adalah hari rehat untuk pemain, mungkin boleh keluar menikmati kopi dan tenangkan minda sebelum mesyuarat pascaperlawanan sebelah malamnya,” kata Arul menerusi satu rakaman video.

Sementara itu, pasukan ketiga dunia Belanda melakar kemenangan terbesar dalam kempen hoki lelaki Piala Dunia membelasah Chile 14-0 sekali gus mengungguli kumpulan C dengan sembilan mata.

Malaysia di tangga kedua dengan enam mata diikuti New Zealand (tiga mata) dan Chile tercorot tanpa sebarang mata dikumpul.

Dengan kedudukan kedua, Malaysia akan berdepan pasukan tempat ketiga Kumpulan D dalam perlawanan kalah mati bagi merebut slot ke suku akhir manakala Belanda sudah layak ke suku akhir.

Kemenangan 12-0 Australia ketika menentang Afrika Selatan pada edisi 2010, adalah yang terbesar sebelum ini. – BERNAMA

- Advertisement -