FAM komited tingkat kualiti pengadilan Liga Malaysia

Jersi baharu yang akan digunakan pengadil Liga Malaysia
- Advertisement -

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa komited untuk memastikan mutu pengadilan Liga Malaysia, terutama Liga Super dan Liga Premier berada pada tahap terbaik.

- Advertisement -

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata bagi musim 2022, pelbagai aktiviti membabitkan pembangunan dan pemerkasaan pengadil demi menjaga serta mengekalkan kualiti barisan pengadil yang bertugas di Liga Super dan Liga Premier.

Katanya, bukan mudah untuk seorang pengadil membawa tanggungjawab melaksanakan perlawanan yang sentiasa menjadi tumpuan penyokong bola sepak negara.

“Namun begitu Alhamdulilah secara keseluruhan, prestasi pengadil bagi musim 2022 berada pada tahap memuaskan.

“Sudah tentu kami mahu melihat kualiti pengadil di Malaysia menjadi lebih baik pada masa hadapan dan FAM telah merancang untuk meneruskan serta menambah baik aktiviti pembangunan pengadil tahun ini,” katanya di Majlis Makan Malam Penghargaan Pengadil di Shah Alam.

Pada majlis ini, FAM mengumumkan Muhammad Nazmi Nasaruddin dan Mohd Yusri Muhamad, sebagai Pengadil Kebangsaan Terbaik dan Penolong Pengadil Kebangsaan Terbaik bagi musim 2022. Pengadil Wanita serta Penolong Pengadil Wanita Terbaik pula ialah Nurul Hafizah Nuraddin dan Siti Noorhidayat Ghazali

Majlis ini bertujuan menghargai barisan pengadil Liga Malaysia musim 2022 selain meraikan pengadil yang bakal bersara pada musim 2023. Pada majlis ini juga diadakan pelancaran jersi terbaharu keluaran Kronos Malaysia yang akan digunakan oleh barisan pengadil musim 2023.

Kronos Malaysia mengekalkan dua warna tradisi jersi pengadil Liga Malaysia, iaitu hijau dan jingga serta menampilkan dua warna baharu, iaitu fluorescent kuning dan merah jambu dengan corak yang lebih menarik.

Datuk Hamidin Mohd Amin di Majlis Makan Malam Penghargaan Pengadil di Shah Alam

Hamidin berharap majlis makan malam ini dan jersi baharu pengadil yang akan digunakan bermula Februari ini dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada barisan pengadil dalam menjalankan amanah yang telah diberikan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kronos Malaysia di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada FAM dalam memastikan barisan pengadil Malaysia dapat beraksi dengan baik.

Sementara itu, Pengurus Besar Kronos Malaysia, Vincent Lai Wai On, berkongsi rasa teruja untuk melihat jersi pengadil baharu yang digunakan oleh barisan pengadil pada aksi pertama Liga Super dan Liga Premier, Februari ini.

“Besar harapan kami di Kronos Malaysia agar jersi baharu ini dapat menyemarakkan semangat pengadil untuk bertugas, sekali gus memeriahkan lagi arena bola sepak negara yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

Jersi baharu pengadil musim 2023 akan dijual pada harga RM99 sehelai dan boleh didapati mulai hari ini menerusi laman sesawang Kronos Malaysia di www.kronossea.com atau dibeli secara fizikal di semua cawangan Kronos. – FAM

- Advertisement -