Dua individu berparang tetak pelayan restoran ditahan

ACP Mohd Zaid Hassan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki tempatan berusia 44 dan 47 tahun ditahan awal pagi semalam kerana menetak sorang pelayan restoran pada pagi Selasa lepas.

Advertisement

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata kejadian berlaku pada 9.25 pagi di sebuah restoran di Taman Segar Perdana, Cheras, di sini.

Beliau berkata dalam kejadian berkenaan, lelaki yang bekerja sebagai pelayan restoran berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kaki kanan akibat ditetak dua suspek berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati punca kejadian berlaku adalah disebabkan seorang daripada penyerang itu tidak berpuas hati dengan mangsa yang telah menegurnya kerana membuat bising apabila minuman yang dipesan lewat dihantar.

 “Suspek telah dihalau keluar dari restoran dan kemudian datang semula bersama seorang lagi rakan dengan membawa senjata parang menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaid berkata kedua-dua lelaki itu diberkas pada 3 pagi semalam di Taman Cheras Permata, Kajang dan turut dirampas dua bilah parang dan pakaian yang digunakan mereka semasa kejadian, ujian air kencing turut mendapati seorang suspek positif dadah.

Katanya kedua-dua lelaki itu direman selama lima hari sehingga 22 Jan ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata,” katanya.

Terdahulu tular rakaman kamera litar tertutup berdurasi selama 1 minit 20 saat menunjukkan dua individu bersenjatakan parang menyerang seorang pelayan restoran ketika pelanggan sedang makan. – BERNAMA