Ahli Parlimen PAS Melaka bincang isu nelayan dengan LKIM

- Advertisement -

KOTA MELAKA: Nasib dan masa depan nelayan pantai yang terjejas akibat aktiviti penambakan pasir menjadi topik utama dalam perbincangan antara Ahli Parlimen PAS dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka berkata, isu berkenaan melibatkan nelayan di negeri ini, terutama wilayah Melaka Selatan dan Jasin yang pendapatan mereka terjejas teruk.

“Mudah-mudahan hasil perbincangan kami dapat diketengahkan agar penyelesaian jangka panjang dapat dilakukan demi menjaga kelestarian industri perikanan negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan yang berlangsung di Kompleks LKIM di Muara Sungai Duyong, Padang Temu Selasa lalu ialah Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Melaka, Jamarudin Ahmad.

Sementara itu, taklimat mengenai perkembangan terkini isu-isu berkaitan nelayan disampaikan oleh Pengarah LKIM Melaka, Adib Syazwan Mohmad Hassan.

Bakri berkata, pertemuan itu turut membincangkan beberapa saranan sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku.

“Ini termasuk sukan memancing, pelancongan laut dan meningkatkan populasi ikan dengan menambahkan tempat pembiakan ikan,” katanya.

Selain membincangkan isu berkaitan nelayan, katanya lawatan itu bertujuan membina hubungan baik dengan agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai industri perikanan, isu kebajikan nelayan dan keterjaminan makanan.

“Dalam pertemuan itu, kami juga berbincang pilihan yang ada dan idea baru bagi mempertahankan kelestarian sektor perikanan dan mempertingkatkan pendapatan sampingan nelayan.

“Lawatan ini sangat informatif. Kami dapat memahani peranan LKIM dan Persatuan Nelayan yang dibahagikan kepada tiga wilayah, iaitu Melaka Barat – Masjid Tanah (Tanjung Bidara – Kuala Linggi); Melaka Selatan – Tangga Batu dan Kota (Pantai Kundur hingga Sungai Duyung) dan Jasin (Sebatu, Pantai Siring dan lain-lain),” katanya.

Beliau yakin lawatan ini membolehkan Ahli Parlimen PAS dapat memainkan peranan sebagai pemudah cara antara nelayan dan agensi kerajaan. – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -