ADUN Maharani tumpu agenda kebajikan rakyat

Abdul Aziz mengedarkan limau mandarin kepada masyarakat sekitar sempena Tahun Baru Cina tahun ini.
- Advertisement -

MUAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib tekad meneruskan sumbangan bantuan katil, kerusi roda dan pampers dewasa untuk pesakit yang memerlukan, di sini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Aziz berhasrat untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan yang digerakkan PAS Muar sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, melalui gerak kerja kebajikan yang ditonjolkan itu, beliau berharap masyarakat sekitar dapat menilai PAS sebagai sebuah parti politik yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Menurutnya, sejumlah wang telah diperuntukkan untuk meneruskan usaha berkenaan sepanjang tahun ini dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysisa (Papisma).

“Memandangkan kos membeli katil adalah tinggi, jadi kita terpaksa meminjamkan katil kepada pesakit memerlukan dan perlu dipulangkan jika pesakit sudah tidak memerlukannya lagi.

“Setakat ini kita hanya empat hingga lima buah katil yang kita pusing. Apabila habis digunakan, jika orang tu tidak menggunakan lagi kena pulangkan semula kepada Pejabat Adun dan kita agihkan kepada orang lain yang memerlukan pula.

“Banyak sebenarnya permintaan katil ini, cuma kita tak ada kemampuan untuk sediakan banyak, sebab katil pesakit itu memerlukan belanja yang besar,” katanya semasa ditemubual Harakahdaily, baru-baru ini.

Selain itu kata Cikgu Aziz, pihaknya juga menyediakan bantuan kerusi roda dan pampers dewasa secara bulanan kepada sekitar 30 orang yang memerlukan bantuan berkenaan secara berkala. – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -