Zahid akan talkinkan Umno?

- Advertisement -

ITULAH perumpamaan paling sesuai boleh saya gambarkan terhadap situasi semasa Umno bawah pimpinan Dato’ Seri Zahid Hamidi.

- Advertisement -

Sudah kalah PRU14, kemudian didakwa di kes mahkamah, kemudian kalah lagi PRU15, ditolak akar umbi di Perhimpunan Agung Umno sendiri. 

Tapi DS Hamidi ini memang lain macam. Lapisan konkrit melayari wajah politiknya begitu tebal. Boleh buat dinding keselamatan di loji nuklear. Semua orang tolaklah Zahid macam mana pun, dia tetap ‘steady’.

Tindakan DS Zahid Hamidi sebenarnya bersikap ‘double edges sword’. PRU15 sanggup bertanding solo, ‘penyokong’ Presiden berhujah, kata mereka itu tanda Presiden yakin dengan kemampuan Barisan Nasional mentadbir semula negara.

Pasca PRU15, Presiden gadai prinsip Umno dan membantu cikgunya jadi PMX. Membelakangi keputusan PAU dahulu. ‘Penyokong’ Presiden kata, ini arahan Agong dan demi kestabilan politik negara.

PAU 2022, usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, ‘penyokong’ Presiden kata itu adalah keperluan demi kestabilan parti. Nak katanya, cakaplah apa pun. Mereka akan sentiasa ada hujah.

Tanpa mereka menyedari, Umno makin ketinggalan daripada arus politik bersama rakyat. Tak usah gentar wahai ‘penyokong’ Presiden, perkara ini terbukti sejak PRU14 lagi. Kerusi Umno jatuh merudum daripada bla-bla kepada tinggal 54 sahaja.

Kegagalan Umno Zahid meraikan hasrat akar umbi untuk menampilkan barisan pemimpin baharu yang bersih dan segar untuk PRU15, menyebabkan rakyat sekali lagi menolak Umno Zahid. Daripada 54 kerusi, tinggal 26 sahaja. Begitu memilukan bagi sebuah parti keramat orang Melayu dengan keahlian 3.5 juta orang. Umno jadi parti lebih hina daripada PKR yang baru bertapak 2 dekad lalu. Orang muda tak perlu cakaplah, semuanya tidak ingin dengan corak politik lapuk yang masih dibawa Zahid.

Tapi seperti kita maklum tadi, Zahid punya muka yang begitu lasak. Masih rasa bangga dengan kedudukan semasa. Tidak apa, asalkan dapat memegang jawatan Menteri. Lagipun penyokong PH kini menjadi tulang belakang utama beliau.

Umno bukan sahaja semakin jauh dari arus politik orang Melayu dan anak muda, bahkan Umno Zahid kini cuba menjauh daripada orang Umno dan anak muda pendukung Umno itu sendiri.

Figura Umno yang menjadi daya penarik kepada generasi milenial, Khairy Jamaluddin telah dipancung oleh Zahid. Dalam PAU, wakil Kelab Umno United Kingdom, telah dibatalkan giliran untuk berucap.

Wakil-wakil Umno Siswa pula hanya mampu melihat dari tepi. Melawan, memang pasti akan dipancung. Mendiam, tidak senang duduk. Pantang anak muda dengan daya intelektual tinggi boleh menerima penipuan Presiden.

Umno kini seolah-olah milik Presiden, bukan lagi milik orang Melayu. Apatah lagi anak muda.

Bukan saya yang kata, tapi mereka yang kata:

Naib Ketua Pemuda Umno Perlis

https://www.astroawani.com/berita-politik/anak-muda-tidak-lagi-sokong-umno-jika-jawatan-presiden-timbalan-tidak-dipertanding-naib-ketua-pemuda-399335

Tan Sri Noh Omar

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/1053079/amp

Penganalisis politik (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman & Datuk Dr Jeniri Amir

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1052238/tiada-pertandingan-umno-boleh-dilabel-parti-autokratik

Umno Zahid merasakan dengan kerjasama bersama PH, tindak tanduk mereka mungkin akan disokong dan disucikan sepenuhnya oleh PH khususnya DAP. Tetapi baru sekejap perkahwinan ini, sudah timbul bibit tidak manis dalam ‘pernikahan’ ini.

Ramasamy menuduh Zahid sebagai bebanan Umno dan kerajaan gabungan PMX. Manakala, YB Sany Hamzan Ahli Parlimen Hulu Langat pula telah mengeluarkan penegasan tidak akan memberikan satu pun kerusi di Selangor kepada Umno bagi PRN akan datang.

https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/240726

Kasihan Umno, sedangkan Umno Terengganu yang paling ego sehingga pernah sanggup menolak kerjasama sesama parti orang Melayu Islam (PAS) pun sanggup menawarkan 10 kerusi di Terengganu kepada PH. Begitulah sayang dan besarnya harapan Umno agar cinta terhadap PH ini dibalas. Namun sayang, dibalas dengan tuba oleh pemimpin PH.

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2023/01/1048768/prn-bn-terengganu-setuju-agih-mungkin-lebih-10-kerusi-kepada-ph-rozi

Sungguh menyedihkan. Taraf begini sahaja Umno parti keramat Melayu sekarang. Gara-gara Pak Presiden yang enggan menerima hasrat akar umbi dan ‘pengkhianat’ parti.

Kerusi Umno semakin berkurang. Itu petanda jelas, nafas segar perlu dihembus pada rongga pengurusan Umno. Tapi Umno Zahid terus bangga berjalan dengan sindrom penafian mereka. Mungkin mereka fikir duit dan jawatan mampu membeli sokongan.

Tapi percayalah, orang Melayu akar umbi dan anak muda tidak termakan dengan wang ringgit dan jawatan. Mereka bukan golongan berkepentingan. Mereka tidak hidup dengan kontrak kerajaan untuk cari makan. Mereka ada maruah dan akal fikiran. Mereka tidak akan turut sama arus pemikiran Umno yang tunggang terbalik. Rakyat pasti memilih yang terbaik.

Umno kini ibarat sudah jadi bubur, tiba masa ditanam kubur. Diterima oleh PMX, tetapi ditolak oleh penyokong PMX, ditolak rakyat umum, ditolak anak muda dan ditolak oleh orang Melayu.

UTHMAN CHE AZIZ – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -