Umar beri perhatian kepada wanita yang ada anak

Gambar sekadar hiasan.
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 61)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -

DARIPADA Zaid bin Aslam, daripada bapanya, Aslam, dia berkata:
Kami keluar bersama Umar bin Al-Khattab ra ke satu kawasan lapang hingga sampai ke satu kawasan lain. Tiba-tiba kelihatan ada api.

Umar berkata: Wahai Aslam! Aku melihat di sini ada rombongan yang berada dalam kegelapan dan kesejukan. Mari bersamaku.

Kami keluar berlari anak hingga kami dekati mereka. Tiba-tiba aku dapati seorang wanita yang ada anak kecil. Ada mangkuk yang diletak di atas api. Anak-anaknya pula sedang meraung.

Umar berkata: ‘Assalamualaikum wahai empunya cahaya!’ Dia tidak suka berkata: ‘Wahai yang empunya api!’.

Perempuan itu menjawab: ‘wa alaikassalam.’

Umar bertanya: ‘Boleh aku hampiri?’

Jawabnya: ‘Hampirilah dengan baik atau pergi.’

Zaid berkata: Lalu dia (Umar) dekati.

Umar bertanya: ‘Kenapa dengan kamu?’

Wanita itu berkata: ‘Kami ditimpa kegelapan dan kesejukan.’

Umar bertanya: ‘Kenapa dengan anak-anak kecil yang merengek itu?’

Jawabnya: ‘Lapar.’

Umar berkata: ‘Apa yang ada dalam mangkuk ini?’

Jawabnya: ‘Perkara yang aku buat untuk menenangkan mereka hingga mereka tidur. Dan Allah yang menentukan antara kami dan Umar.’

Umar bertanya: ‘Semoga engkau dirahmati Allah. Apa yang Umar boleh tahu mengenai kamu?’

Jawabnya: ‘Dia menguruskan hal kami, kemudian dia lalai dari kami.’

Zaid berkata: Umar berhadap kepada kami.

Katanya: ‘Mari bersama kami.’

Kami pergi sambil berlari anak hingga kami sampai ke Ad-Daqiq. Umar mengeluarkan satu bekas tepung gandum dan bekas lemak binatang.

Umar berkata: ‘Letakkan semua ini belakang aku.’

Aku (Zaid) berkata: ‘Biar aku yang bawa.’

Umar berkata: ‘Engkau mahu tanggung dosa aku hari kiamat? Tak patut demikian.’

Lalu aku letakkan barang-barang itu atasnya. Dia pergi. Aku pergi bersamanya, dengan kami berlari-lari anak.

Umar meletakkan barang tadi di tepi wanita itu. Umar mengeluarkan sedikit tepung gandum. Dia berkata: ‘Gaulkan tepung itu dan aku akan kocak-kocakkan.’

Umar meniup di bawah mangkuk. Dia menurunkan mangkuk itu. Umar berkata: ‘Bawakan aku sesuatu.’

Wanita itu datang membawa satu pinggan. Umar menuangkan isi dalam mangkuk ke dalam pinggan. Dia berkata kepada wanita itu: ‘Berikan ini kepada mereka, dan aku mengacau makanan ini supaya jadi sejuk untuk mereka.’

Begitulah yang berlaku sehingga anak-anak itu kenyang. Umar meninggalkan baki makanan untuk wanita itu. Dia berdiri dan aku juga berdiri bersamanya.

Wanita itu berkata: ‘Moga Allah membalas kebaikan kepadamu. Kamu berkhidmat lebih baik dari Amir al-Mukminin.’

Umar berkata: ‘Sebutlah perkara yang baik. Apabila engkau datang kepada Amir al-Mukminin, engkau akan dapati aku di sana insya Allah.’

Kemudian Umar berundur ke satu sudut. Dia mengadap wanita itu tanpa bergerak agak lama.

Aku (Zaid) berkata: ‘Engkau ada tugasan lain pula.’

Umar tidak menjawab hingga aku lihat anak-anak yang merengek tadi tidur. Lalu suasana menjadi hening.

Umar berkata:
يا أسلم إن الجوع أسرهم وأسكنهم فأحببت أن لا أنصرف حتى أرى ما رأيت
Wahai Aslam! Kelaparan menyebabkan mereka tidak dapat tidur dan menangis. Aku suka bahawa aku tidak berpaling hingga aku lihat apa yang aku lihat.

(Sejarah Umar bin Al-Khattab, Ibn al-Jauzi ms 86, 87)

Kita dapat mengambil banyak iktibar dari kisah ini:

  1. Kadang-kadang pemerintah tertinggi sendiri perlu turun padang melihat apa yang berlaku di kalangan rakyat. Bukan hanya ketika berkempen di musim pilihan raya.
  2. Kelaparan di kalangan rakyat mesti ditangani dengan baik. Sebab itu isu keselamatan makanan, kecukupan makanan dan harganya mesti diambil berat oleh pemerintah.
  3. Umar menghargai maruah seorang wanita. Beliau meminta izin dengan baik untuk masuk. Maruah wanita ini mesti dijaga. Wanita juga mesti menjaga maruahnya sendiri. Di zaman medsos kini, maruah digadai dengan murah dan mudah.
  4. Umar tidak suka memperkenalkan dirinya sendiri kepada wanita itu. Dengan kata lain, Umar bukan mahu glamour, popular sahaja, tetapi yang penting ialah tanggungjawab sebagai pemerintah mesti dilaksanakan.
  5. Umar sanggup menanggung sendiri guni gandum di belakangnya. Ia bukan satu lakonan tetapi datang dari taqwa dan sifat kebertanggungjawabannya memikul amanah. Pemerintah kini tidak semestinya memikul sendiri guni beras kerana sudah ada pegawai-pegawai dan staf yang bertugas, tetapi yang penting pastikan rakyat tidak kelaparan.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -