Tidak takut bila bersama sahabat yang berani

- Advertisement -

ADA kawan-kawan dari negara lain di Baghdad dulu, masa suasana genting Iraq nak kena bom, mereka lari keluar pergi ke Jordan, negara bersempadan yang terdekat. Bila keadaan dah aman balik, mereka kembali semula untuk sambung pengajian. 

- Advertisement -

Bila balik, orang Iraq panggil هذا جبانۃ dalam bahasa Iraq bermakna, ini penakut. Paling pedih lagi kawan-kawan Iraq kata, kamu mengaku kita bersaudara. Bila aku dalam keadaan susah, kamu lari tinggal. Aku senang, kamu datang balik.

Kata-kata pedih ini terasa menusuk ke tulang hitam. Nasib baik saya tak pernah kena begitu sebab saya tak pernah lari keluar. Kalau kena rasa tak tahu nak letak muka juga rasanya. 

Orang Arab khususnya Iraq memang melatih anak mereka supaya jadi berani. Sebab itu biasa bagi mereka memanggil anak dengan panggilan يا اسد bermaksud, wahai singa! Ada yang panggil حيدر bermaksud, anak singa! 

Mereka juga ada ungkapan:

 الرجال من قال هذا انا 

Bermaksud, orang lelaki ialah mereka yang berkata, ini diri saya!

Saya juga tumpang sedikit dari semangat keberanian ini. Taklah berani sangat, cuma bila duduk di kalangan kawan-kawan yang berani, kita jadi tak takut. Tengok anggota badan atau jasad yang hancur kena bom adalah rutin biasa. Kecederaan perang kesannya sangat dahsyat terutama bila menjadi mangsa bom atau peluru berpandu bersaiz besar. 

Tiada siapa yang inginkan peperangan kecuali mereka yang mengaut keuntungan dari peperangan walaupun terpaksa mengorbankan jiwa orang lain. Mungkin kerana kesan psikologi akibat selalu melihat korban dan derita perang menyebabkan jiwa saya sangat cintakan kedamaian dan ketenteraman. Sedayanya kita ingin melihat semua orang lain gembira walau ia adalah suatu yang mustahil.

DR AZMAN IBRAHIM – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -