Pentingkah keamanan dan kedamaian dalam sesebuah negara?

- Advertisement -

SABAN hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana mereka sering bertanya adakah penting keamanan dan kedamaian ini dalam sesebuah negara sedangkan buat masa sekarang tidak berlakunya peperangan?

- Advertisement -

Jawapannya ya. Keamanan dan kedamaian sangatlah penting dalam membina sebuah negara yang bebas daripada konflik dan permasalahan serta membina negara yang memperlihatkan kepada persada dunia betapa pentingnya semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Generasi muda juga hendaklah mengetahui bahawa walaupun peperangan tidak berlaku lagi sekarang, akan tetapi kewajipan dalam memelihara negara sangatlah penting agar keamanan dan kedamaian dapat dikekalkan dalam negara.

Tambahan lagi, keamanan dan kedamaian juga adalah tunjang kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

Hal ini demikian kerana, apabila negara itu dalam keadaan aman, maka proses untuk memajukan negara menjadi mudah apatah lagi masyarakat juga bersatu padu dalam hal tersebut.

Maka tidak dapat dinafikan lagi di mana keamanan dan kedamaian ini sangat penting dalam sesebuah negara.

Membuka tajuk perbincangan kita, sebagai generasi muda yang merupakan pemangkin kepada kestabilan dan keamanan negara, hendaklah memahami dahulu apa yang dimaksudkan dengan istilah keamanan dan kedamaian ini.

Secara ringkas, keamanan bermaksud suatu keadaan yang bebas daripada bahaya dan malapetaka.

Dari sudut keamanan negara pula, bermaksud bebas daripada segala serangan dan ancaman dari negara luar yang membolehkan menggugat kestabilan dan keharmonian negara. Manakala kedamaian pula merujuk kepada ketiadaan perang di antara pihak yang terlibat.

Selain itu, di dalam undang-undang antarabangsa, kedamaian dianggap sebagai satu perjanjian yang disepakati antara dua belah pihak yang terlibat di mana tujuan perjanjian tersebut adalah ingin mengakhiri peperangan.

Mereka juga melakukan perjanjian perdamaian itu adalah kerana tidak mahu berlakunya lagi kemusnahan dan selagi boleh bertolak ansur antara satu sama lain maka mereka memilih untuk berdamai demi keselamatan negara masing-masing.

Peranan dalam memastikan negara sentiasa aman dan damai

Di antara orang yang terdekat dengan kita selain rakan adalah ibu bapa. Maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam mendidik anak-anak sejak kecil agar menerapkan semangat patriotik supaya dengan semangat tersebut dapat mewujudkan keamanan dan kedamaian dalam sesebuah negara seperti kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak mereka melawat ke tempat-tempat bersejarah apabila mempunyai waktu lapang.

Hal ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan anak-anak terhadap peninggalan sejarah negara kita sekaligus dapat memupuk semangat patriotik apabila menelaah dan mengkaji perjuangan-perjuangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh kita dalam mempertahankan negara.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka melawat ke Bandar Bersejarah Melaka, Lembah Bujang, Kota Belanda di Perak dan sebagainya. Di sana terdapat pelbagai barang dan bangunan peninggalan sejarah yang boleh dipelajari.

Justeru, dengan lawatan ini juga dapat mendorong anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal usul peristiwa tersebut dengan melakukan kajian terhadap peristiwa tersebut.

Maka dengan kajian ini akan menjadikan anak-anak lebih menghargai jasa perjuangan tokoh-tokoh negara seterusnya bersemangat untuk menjaga negara agar berada dalam keadaan aman dan damai serta tidak dijajah lagi.

Selain itu, sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam mendidik generasi muda sebelum mereka menganjak ke alam dewasa. Sekolah adalah tempat di mana setiap orang dapat mempelajari dan mengetahui perkara baru dalam kehidupan mereka.

Bermula dari sekolah juga, nilai-nilai murni seperti perpaduan, perdamaian, sikap menghormati antara kaum dan bangsa serta semangat patriotik dapat dipupuk dalam diri anak-anak.

Sebagai contoh, kita boleh lihat di mana dalam sesebuah sekolah mempunyai pelbagai bangsa seperti bangsa Melayu, Cina dan India.

Maka dengan kepelbagaian bangsa ini kita dapat mengenali dan mempelajari budaya masing-masing agar setiap orang akan lebih menghormati dan menjaga sensitiviti setiap budaya.

Selain itu, pihak sekolah juga hendaklah menjalankan program bulanan yang berkaitan dengan patriotisme iaitu semangat cinta akan negara supaya semangat tersebut tidak akan luntur dalam diri pelajar.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan seperti pertandingan sajak, pertandingan menulis esei, pertandingan persembahan lagu-lagu patriotik dan juga pertandingan melukis.

Kesemua aktiviti ini bukan sahaja memberi kegembiraan malah dalam masa yang sama memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain dan semangat cinta akan negara serta dengan semangat ini akan menyebabkan mereka bersemangat dalam menjaga keamanan negara pada masa akan datang.

Kesimpulannya, keamanan dan kedamaian adalah satu perkara yang penting dalam sesebuah negara bagi memastikan negara tersebut terus maju dan berkembang dengan jayanya.

Namun, jika generasi muda yang merupakan pemangkin kepada kemajuan negara mengabaikan tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam negara, maka ia akan memberi kesan yang sangat mendalam kepada negara dan rakyat.

Antaranya seperti masyarakat akan berpecah belah sehingga terbentuknya puak masing-masing, negara kita akan mudah dijajah oleh negara luar seperti dahulu, berlakunya perebutan kuasa dan campur tangan kuasa luar serta berlakunya peperangan antara negara.

Oleh itu, sebagai generasi muda yang bijaksana, hendaklah kita bersama-sama mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam negara jika tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Mohd Roslan Mohd Nor
Nur Athika Mohamad Fauzi

Artikel ini ditulis dan disediakan oleh Mohd Roslan Mohd Nor dan Nur Athika Mohamad FauziHARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -