INEOS rasmi memasuki proses penjualan Manchester United

Jim Ratcliffe, pemilik INEOS yang hendak membeli Manchester United
- Advertisement -

INEOS, syarikat milik Jim Ratcliffe secara rasmi memasuki proses penjualan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

- Advertisement -

“Saya boleh mengesahkan bahawa kami secara rasmi telah meletakkan diri kami dalam proses itu,” kata jurucakap syarikat kimia British itu tanpa memperincikan butiran proses itu.

Akhbar The Times, yang pertama melaporkan berita itu, menyatakan bahawa bidaan rasmi dijangka bermula bulan depan dengan kelab itu berpotensi berpindah milik menjelang akhir musim.

Pemilik Manchester United sejak 17 tahun lalu, keluarga Glazer dari Amerika Syarikat berkata pada November lalu, mereka telah mula melihat pilihan untuk juara Inggeris 20 kali itu, termasuk pelaburan baharu atau potensi penjualan kelab itu.

Ogos tahun lalu, jutawan Britain Ratcliffe, peminat Manchester United menyatakan hasrat untuk membeli kelab itu.

Pengurusan Manchester United pula enggan memberi sebarang ulasan.

Penjualan Manchester United turut menarik minat pelabur dari Amerika Syarikat dan Asia. Saham Manchester United pula meningkat 1.2 peratus dalam dagangan New York pada petang semalam. – REUTERS

- Advertisement -