Formula One (F1) akan mengadakan 23 perlumbaan musim ini, lebih satu perlumbaan berbanding tahun lalu dengan jurang empat minggu pada April selepas penganjur memutuskan untuk tidak menggantikan Grand Prix (GP) China yang dibatalkan.
GP Shanghai yang dijadualkan pada 16 April sebagai pusingan keempat daripada 24 pusingan keseluruhan, dibatalkan bulan lalu untuk tahun keempat berturut-turut berikutan langkah ketat China untuk membendung penularan Covid-19.
F1 menyatakan pihaknya sedang menilai pilihan lain dengan pelbagai lokasi digembar-gemburkan dalam media, termasuk Litar Portimao Portugal yang menjadi pengganti pada 2020 dan 2021 untuk perlumbaan yang dibatalkan ketika penularan wabak itu.
“F1 mengesahkan bahawa musim 2023 adalah sebanyak 23 perlumbaan. Semua tarikh perlumbaan sedia ada dalam kalendar kekal tidak berubah,” kata F1 dalam kenyataan, semalam.
Ketiadaan pengganti GP Shanghai akan mewujudkan jurang hampir sebulan antara pusingan ketiga di Melbourne, Australia pada 2 April dan GP Azerbaijan di Baku pada 30 April.
Sumber memberitahu bahawa penganjur GP China memohon perlumbaan diadakan semula selepas Beijing melonggarkan kawalan Covid-19, tetapi tidak menjadi kenyataan kerana faktor logistik.
Antara pilihan lain ialah mempercepatkan perlumbaan di Baku selama seminggu. Kalendar 2023 juga memasukkan Qatar pada Oktober dan perlumbaan malam sulung di Las Vegas.
Pemandu Red Bull dari Belanda, Max Verstappen, memburu kejuaraan ketiga berturut-turut apabila musim baharu bermula di Bahrain pada 5 Mac ini. Musim tahun ini berakhir di Abu Dhabi pada 26 November. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!