Enggan kerja lebih lama: Khidmat kereta api, penerbangan dibatalkan

Susulan protes mogok seluruh negara, perkhidmatan tga laluan kereta api metro di Paris, Perancis turut ditutup pada 19 Jan 2022. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

PARIS: Kebanyakan perkhidmatan kereta api akan dibatalkan di Perancis bermula esok, Khamis (19  Jan), waktu tempatan, sebagai sebahagian daripada mogok seluruh negara terhadap rancangan kerajaan menambahkan had umur persaraan.

- Advertisement -

Turut terjejas teruk ialah sistem penerbangan dan kereta api bawah tanah di Paris, yang menyaksikan protes umum untuk menjadikan rakyat di Perancis bekerja lebih lama sebelum mereka boleh bersara, lapor Reuters.

Tinjauan pendapat menunjukkan sebahagian besar rakyat negara itu menentang pembaharuan yang dirancang, yang akan menyaksikan umur persaraan ditambah daripada 62 kepada 64 tahun.

Sehubungan itu, pihak kesatuan sekerja tempatan telah menyeru ahlinya untuk keluar mogok beramai-ramai daripada pekerjaan mereka pada esok hari (19 Jan) dan turun ke jalan-jalan di seluruh Perancis. 

Kerajaan Perancis sebelum ini telah berkata ia akan berdiri teguh dengan perancangan tersebut dan menyeru golongan pekerja supaya tidak bertindak secara sembrono untuk melumpuhkan  ekonomi negara.

Sementara itu, pengendali perkhidmatan SNCF dalam kenyataannya berkata, hanya satu daripada tiga hingga satu daripada lima laluan TGV berkelajuan tinggi akan beroperasi, dan hanya satu daripada sepuluh kereta api TER tempatan masih beroperasi.

“Trafik antarabangsa di laluan Eurostar dan Thalys ditetapkan hampir normal, manakala sambungan Lyria dengan Switzerland akan terganggu teruk dan sambungan kereta api antarabangsa lain akan dibatalkan sepenuhnya,” ujar kenyataan itu.

“Di Paris, sebahagian besar kereta api komuter RER akan dibatalkan, manakala tiga laluan metro akan ditutup sepenuhnya dan banyak lagi akan terganggu,” ujar pengendali metro RATP pula.

Mogok seluruh negara

Sementara itu, satu daripada lima penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Orly Paris akan dibatalkan.

“Lapangan terbang di selatan Paris, yang kedua terbesar di bandar itu, pada peringkat ini adalah satu-satunya di negara itu boleh memberi impak negatif susulan mogok itu kelak,” kata jurucakap pengawal selia penerbangan DGAC.

Dalam pada itu,  kesatuan sekerja terkemuka Perancis, SNUipp-FSU berkata, tujuh daripada 10 guru akan mengadakan mogok di sekolah-sekolah rendah, manakala pekerja sektor lain, daripada kilang penapisan kepada bank, juga akan mogok di seluruh negara.

Pembaharuan had umur persaraan itu bagaimanapun masih belum diterima pakai di parlimen, yang mana, Presiden Emmanuel Macron tidak mempunyai majoriti mutlak tetapi berharap mendapat sokongan undian daripada ahli parti konservatif Les Republicans. – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -