Elliott pastikan Liverpool atasi Wolves dalam ulangan Piala FA

Harvey Elliott, 20, yang bermain di Liga Perdana ketika berusia 15 tahun.
- Advertisement -

Rembatan kencang Harvey Elliott memadai untuk memberikan juara Piala FA, Liverpool menang 1-0 mengatasi Wolverhampton Wanderers di tempat lawan dalam perlawanan ulangan pusingan ketiga.

- Advertisement -

Pemain tengah remaja itu meluru ke ruang kosong di depan lalu merembat deras melepasi penjaga gol Wolves, Jose Sa pada minit ke-13.

Wolves yang bermain pasif pada babak pertama hanya melakukan aksi serangan selepas rehat. Namun, pertahanan Liverpool cukup kuat untuk menghalang mereka, sekali gus memastikan The Reds memperoleh kemenangan pertama dalam empat perlawanan semua pertandingan.

Melalui kemenangan ini, Liverpool memasuki pusingan keempat dengan menentang Brighton & Hove Albion yang membelasah pasukan Juergen Klopp 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana, Sabtu lalu.

West Bromwich Albion menyertai Liverpool pada pusingan keempat selepas menumbangkan Chesterfield 4-0 di tempat sendiri, Birmingham City bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Forest Green Rovers 2-1 dan Luton Town menang 2-1 di Wigan Athletic. Bristol City pula menumbangkan Swansea City, menang 2-1 di tempat lawan selepas masa tambahan.

Sementara itu, Elliott memberitahu rakan sepasukan, James Milner, memberi galakan kepadanya untuk mencuba meledak bola dari jarak jauh.

“Milly (Milner) menjerit ‘tendang’ dan saya melakukannya. Mungkin dia boleh menggalakkan saya lebih banyak buat begitu lagi kerana ia pasti berkesan,” katanya.

“Saya dinilai berdasarkan jaringan dan memberikan bantuan. Ia adalah sesuatu yang telah saya usahakan dan muncul hari ini,” katanya. – REUTERS

- Advertisement -