Cari kaedah bawa masuk duit ke poket rakyat

- Advertisement -

RAKYAT masih lagi berhati-hati untuk berbelanja memandangkan ura-ura kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

- Advertisement -

Ramai menjangka ia berlaku pada akhir bulan ini sehingga mengundang resah bagi mereka yang mempunyai pinjaman dengan institusi kewangan. Ini kerana ia boleh menjejaskan status kewangan isi rumah.

Sebelum ini media melaporkan BNM menaikkan OPR sebanyak empat kali pada 2022 selepas ia mencecah paras terendah 1.75 peratus sejak negara dilanda ancaman wabak Covid-19 awal 2020.

Kenaikan itu menyaksikan OPR bertambah 100 mata asas secara kumulatif kepada 2.75 peratus.

Sebaliknya, kenaikan OPR memberi kesan tempoh pembayaran pinjaman menjadi lebih panjang atau kadarnya semakin tinggi.

Sedangkan bagi kerajaan OPR lebih tinggi membantu untuk mengawal risiko kenaikan harga disebabkan pinjaman dan perbelanjaan terlalu banyak.

Mengulas perkembangan itu Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata, kenaikan OPR tidak menggalakkan perbelanjaan apabila kos pinjaman lebih tinggi.

Alasannya kenaikan OPR menggalakkan simpanan dengan kadar deposit yang lebih tinggi.

“Apabila OPR dinaikkan kebanyakan rakyat Malaysia akan memilih untuk kurang berbelanja. Saya harap kerajaan dapat memikirkan dan kembalikan duit ke poket rakyat.

“Kerajaan perlu fikir macam mana hendak bawa duit masuk semula dalam poket rakyat. Ini kerana tindakan menaikkan OPR akan berlaku kesan berantai,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, apabila Bank Negara menaikan OPR menyebabkan kadar interest lebih tinggi dan ia menggalakkan duit disimpan di bank.

Namun, kata beliau apabila tiada kuasa beli ia akan memberi kesan kepada peniaga, sektor pengangkutan dan pelbagai lagi.

“Apa yang perlu difikir kerajaan memasukkan duit dalam poket rakyat bagi membolehkan mereka membeli. Langkah itu akan menghidupkan perniagaan dan sektor perkilangan kembali rancak.

“Kerajaan tidak boleh hanya sekadar main teori sedangkan rakyat berdepan dengan masalah,” ujarnya.

OPR merupakan kadar faedah dasar yang mempengaruhi kadar pinjaman dan pembiayaan bank serta kadar deposit.

Dengan kata lain apabila OPR naik, kos pinjaman akan meningkat. Kesannya peminjam perlu membayar lebih mengikut angka baru yang ditetapkan.

Pada 4 Januari lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kenaikan OPR tertakluk kepada keputusan Bank Negara Malaysia.

Ramai mempersoalkan ketika OPR belum dimuktamadkan, banyak harga barangan terutamanya sektor pembinaan melambung tinggi.

Sabtu lepas harga sebeg simen meningkat kepada RM23, sedangkan sebelum itu sekitar RM20.

Bank Dunia juga menjangka ekonomi global semakin menghampiri ancaman kemelesetan tahun ini.

Menurut laporan tahunannya badan itu menurunkan unjuran pertumbuhan global tahun ini kepada 1.7 peratus.

Bernama pula melaporkan OPR akan dinaikkan lagi atau mungkin Bank Negara Malaysia bertindak mengekalkan kadar semasa sehingga kesannya benar-benar reda.

Laporan itu menyebut kadar inflasi mendorong harga makanan meningkat 7.3 peratus pada November 2022.

“Ia menyebabkan harga beberapa barangan melonjak lebih 100 peratus tahun lalu, sehingga mencetus perbincangan serius mengenai jaminan makanan,” kata Bernama.

Oleh itu pemerhati politik menyifatkan belum ada tanda-tanda ekonomi stabil di bawah kerajaan baharu, sedangkan ketika berada di saf pembangkang, menteri yang ada sekarang menyifatkan kerajaan lama gagal. – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -