Tahun Baru, semangat baharu untuk tidak ditipu

- Advertisement -

Setiap dari kita pasti berazam untuk meningkatkan prestasi kerja dan hidup secara amnya setiap kali masuknya tahun yang baharu. 

- Advertisement -

Tidak kurang juga yang berniat untuk menambahkan pendapatan, pelaburan dan simpanan lebih-lebih lagi dunia dijangkan mengalami inflasi yang agak tinggi pada tahun ini. 

Memperbaiki mutu kedudukan kewangan individu adalah satu perkara baik dan wajar dilaksanakan dengan penuh maklumat dan kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita.

Menurut sumber media, dari Januari hingga Julai 2022 sebanyak 12,092 kes penipuan dalam talian telah dilaporkan. 

Trend ini menunjukkan peningkatan sejak tahun 2019. Jika dihitung dalam bentuk jumlah kerugian, sejumlah RM 1.5 bilion kerugian telah dialami oleh mangsa-mangsa scammer ini yang membentuk satu jumlah yang begitu besar jika dapat dilabur dan digunakan ke tempat yang betul.

Tidak dinafikan kelicikan modus operandi scammer menjadi faktor kepada pertambahan kes-kes penipuan dalam talian ini. 

Walaubagaimanapun, modus operandi yang hebat tidak akan berjaya sekiranya pengguna atau masyarakat awam memiliki kesedaran dan ilmu mengenai pelaburan dan implikasinya.

Pelbagai bentuk penipuan dalam talian yang digunakan oleh pihak yang bertanggungjawab ini. Antaranya ialah Macau Scam, Love Scam, Phishing, Business Email Compromise, projek matawang kripto dan penggubahan wang haram. 

Tidak kurang juga mereka yang tertipu dengan janji pulangan yang tidak masuk akal menerusi pelaburan yang tidak pernah wujud.

Pelaburan yang tidak pernah wujud atau khayalan ini kebiasaannya menyasarkan orang yang tamak dan tidak memiliki ilmu dalam pelaburan. 

Alasan seperti pelaburan di luar negara atau perniagaan yang masih baharu dan pasti berkembang adalah antara alasan yang menjadikan mangsa tergiur dan percaya sebelum menyerahkan wang kepada scammer.

Menurut buku yang diterbitkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia pada Disember 2022, kelemahan peribadi individu itu menyumbang besar kepada mudahnya mangsa ditipu oleh scammer. 

Menurut sumber yang sama, individu yang mudah cemas, mudah takut, tidak berkongsi masalah dan tidak mengambil tahu isu jenayah semasa adalah antara faktor yang membuatkan mereka ditipu.

Dalam ilmu Kaedah Fiqh, terdapat satu kaedah yang menyatakan ‘al-Asli Baraah al-Dhimmah’ yang membawa maksud secara asalnya seseorang itu tidak memiliki sebarang tanggungan dan kesalahan melainkan terdapat bukti yang menyokong tuduhan tersebut. 

Kebiasaannya, Macam Scam akan menghubungi mangsa dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai atau kesalahan jenayah yang masih belum dilunaskan. 

Individu yang mudah cemas dan gelabah akan terus menuruti arahan pihak scammer dan akhirnya terjebak sebagai mangsa.

Bagi mereka yang menyedari akan kaedah Fiqh yang disebutkan di atas pasti akan meminta penjelasan lebih jelas mengenai kesalahan atau jenayah yang dilakukan atau sekurang-kurangnya bukti bertulis yang mengesahkan perkara yang didakwa itu. 

Tindakan ini sekurang-kurangnya menutup sedikit ruang penipuan dan pemerdayaan daripada memperluaskan sko penguasaannya.

Selain itu, ilmu pelaburan yang berkaitan dengan trend pasaran juga diperlukan bagi seseorang yang ingin menceburi bidang pelaburan. 

Jika tidak mampu untuk mencari maklumat yang relevan sekurang-kurangnya seseorang itu boleh merujuk kepada pakar atau maklumat yang dibekalkan oleh Bursa Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.

Sebagai contoh, jika ada pihak yang menawarkan pelaburan emas dengan keuntungan 10 peratus setiap bulan sedangkan data yang diambil dari laman yang dipercayai seperti goldprice.org atau goldrate.com hanya menunjukkan kenaikan 5 peratus setahun. 

Dengan data sedemikian, sudah cukup membuktikan kepada kita penipuan atau muslihat yang dibuat bagi mengaburi mata mereka yang tamak atau mudah terpedaya.

Sifat tamak kepada harta dan mengharapkan kekayaan dengan sekelip mata adalah sifat negatif yang mudah memerangkap mangsa ke dalam skim-skim seperti ini. 

Umat Islam telah didedahkan dalam al-Quran berkaitan kisah manusia dan kekayaan dunia seperti kisah Qarun dalam Surah al-Qasas ayat 76-81, kisah dua sahabat kaya dan miskin dalam Surah al-Kahfi ayat 32-42 dan juga kisah adik-beradik yang tamak dalam Surah al-Qalam. 

Kesemua kisah tersebut memberi gambaran bagaimana nafsu ketamakan manusia membawa kepada kehancuran, kerugian serta penyesalan berpanjangan.

Dalam kes yang melibatkan skim ini, kebanyakan mangsa sudahlah tidak memiliki ilmu pelaburan ditambah pula dengan keinginan untuk kaya dengan segera. 

Mereka pula diperlihatkan dengan ‘kekayaan’ pemilik kepada skim tersebut. Tidak kurang juga skim yang menawarkan sumbangan dari ‘luar negara’, harta beku individu yang telah mati di luar negara dan sebagainya.

Jika difikirkan logik, mengapa perlu kita bersusah payah untuk mendapatkan harta beku milik orang lain di luar negara. 

Jika benar sekalipun ia bukanlah milik kita tetapi milik pewaris kepada pemilik sebenar tersebut. Namun, jika diandaikan harta itu wujud dan dapat diperolehi, ia wajar dipulangkan kepada ahli waris pemilik harta-harta tersebut.

Andaian seperti ini akan mudah difikirkan kepada mereka yang waras dan peka terhadap hukum Syariah. 

Namun, bagi mereka yang oportunis dan digelapkan dengan sifat tamak, pertimbangan halal haram tidak menjadi keutamaan dalam diri mereka yang akhirnya mengakibatkan kerugian dan penyesalan yang berpanjangan.

Mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang telah berlaku, masyarakat dinasihakan untuk berhati-hati dalam memilih pelaburan khususnya pelaburan dalam talian. 

Merujuk kepada pakar atau badan berautoriti adalah satu keperluan khususnya mereka yang tidak memiliki pengetahuan luas dalam dunia pelaburan. 

Akhirnya, segala keraguan dan ketidakjelasan dalam urusan pelaburan perlu diambil kira supaya kita tidak mudah diperdaya terutamanya dengan skim-skim yang menyasarkan mangsa yang tidak berpengalaman dan pengetahuan.

DR MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -