Cristiano Ronaldo bakal bermain di Arab Saudi buat kali pertama sejak menyertai Al Nassr selepas dinamakan sebagai kapten Riyadh ST XI dalam perlawanan persahabatan menentang Paris St Germain pimpinan Lionel Messi.
Pemain Portugis berusia 37 tahun itu akan mengetuai pasukan yang terdiri daripada gabungan pemain kelab Al Hilal dan Al Nassr menentang PSG dalam babak terbaru persaingan bola sepak global.
Barisan pemain itu turut menampilkan pemain antarabangsa Arab Saudi, Salem Al-Dawsari, yang menjaringkan gol dalam kemenangan mengejut peringkat kumpulan ke atas Argentina ketika Piala Dunia Qatar tahun lalu dan Saud Abdulhamid.
Perlawanan yang dinanti-nantikan itu dilaporkan mencatatkan lebih dua juta permintaan tiket dalam talian, akan berlangsung di Riyadh, Khamis ini.
Bidaan untuk tiket VIP perlawanan itu mencecah 10 juta Riyal (AS$2.66 juta) dalam lelongan yang akan berakhir pada hari ini.
Ronaldo terlepas dua perlawanan domestik pertama untuk Al Nassr selepas digantung oleh Persatuan Bola Sepak England.
Penyerang Portugal itu menyertai Al Nassr awal bulan ini dengan perjanjian sehingga 2025 yang dianggarkan oleh media bernilai lebih 200 juta Euro.
Ronaldo bersedia untuk membuat penampilan kompetitif pertamanya dalam Liga Pro Saudi pada Ahad ini apabila Al Nassr menerima kunjungan Al Ettifaq. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!