Ketua tentera Greece didakwa beli penthouse guna wang haram

Sebuah akhbar Greek pada 16 Jan 2023 mendedahkan bahawa Jeneral Konstantinos Floros (kiri) telah membeli sebuah penthouse mewah atas nama menantunya. (FOTO ARKIB: REUTERS)
- Advertisement -

ATHENS, Greece: Ketua tentera Greece didakwa menggunakan dana wang haram untuk membeli rumah  mewah jenis penthouse di ibu negara Athens.

- Advertisement -

Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (EYP) mendapati Ketua Staf Am, Jeneral Konstantinos Floros didakwa membayar sebanyak AS$650,000 (RM2.8 juta) dalam bentuk ‘wang haram’ untuk  membeli sebuah penthouse mewah dengan nilai pasaran AS$1.3 juta pada tahun 2021, lapor media tempatan, Documento.

Dalam laporan pada Isnin (16 Jan), waktu tempatan, susulan liputan berterusannya mengenai skandal pengawasan haram yang tercetus di Greece musim panas lalu, akhbar itu mendedahkan Floros telah membeli hartanah itu atas nama menantunya.

Laporan itu berkata, EYP mengesyaki Floros menggunakan dana haram untuk transaksi itu, tanpa memberikan bukti untuk dakwaan itu.

“Hakikat bahawa memantau ketua kakitangan, dengan perkara yang  bukan atas sebab keselamatan tetapi untuk mengumpul maklumat tentang kehidupannya, semata-mata menimbulkan kebimbangan mengenai fungsi demokrasi,” tegas laporan akhbar itu.

Ia juga mendakwa bahawa kerajaan Greece memeras ugut Floros atas ‘urus niaga kewangan gelapnya’ itu.

Dalam perkembangan berkaitan, parti pembangkang utama, Syriza-PS menuduh Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis dan kerajaannya meletakkan keselamatan negara dalam risiko.

“Malangnya, penyakit parastatal Mitsotakis juga telah menjangkiti kepimpinan angkatan tentera,” ujar parti itu dalam satu kenyataan.

Pemilik dan Ketua Pengarang Documento, Kostas Vaxevanis berkata negara itu menyaksikan skandal ‘penyelewengan perlembagaan.

“Tanggungjawab jenayah skandal pengawasan jatuh ke atas Mitsotakis,” katanya kepada stesen radio swasta, Sto Kokkino.

Vaxevanis sehubungan itu mencabar Floros untuk memfailkan tuntutan mahkamah terhadapnya, dengan menyatakan bahawa langkah sedemikian akan ‘membebaskan pihaknya untuk menggunakan sebarang cara bukti’. – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -