Jadi tetamu Allah dari hasil jualan dadih

- Advertisement -

SIAPA sangka, hanya dengan hasil berniaga dadih, doa Kak Ani untuk jejakkan kaki di bumi Madinah dan Makkah akhirnya dimakbulkan Allah. 

- Advertisement -

Kak Ani mula berniaga dadih sejak tahun 2012. Dadih Kak Ani istimewa, diproses daripada susu lembu segar. Kak Ani bancuh sendiri dadih di rumahnya di Taman Wira Mergong. Ada peti sejuk khas untuk semua dadih-dadih Kak Ani. 

Kak Ani jual sendiri dadih itu di Pasar Tani Taman Wira setiap hari Ahad dan Rabu. Ada juga yang tempah dadih khusus untuk majlis tertentu. 

Dadih yang Kak Ani buat ini memang sedap lain daripada yang lain. Kak Ani guna susu lembu asli. Harga pun murah saja. RM1.50 untuk dadih putih susu lembu asli. Susu lembu asli pun ada dijual, harga RM3 sebotol. 

Saya sempat singgah di Pasar Tani tempat Kak Ani berniaga semasa waktu kempen hari itu. Saya tanya Kak Ani, apa rahsia dadih ini sedap? 

Kak Ani kata, apa pun kerja yang kita buat, kita kena niat untuk bagi sumbangan pada Islam. Esok nanti Allah Taala tanya sebab apa kita tak pernah bagi sumbangan pada Islam, apa kita nak jawab? 

Jawapan Kak Ani itu membuatkan hati kita tersentak. Walaupun Kak Ani hanya menjual dadih, pendapatannya biasa-biasa sahaja, tapi kefahaman dan keyakinan Kak Ani sangat luar biasa! 

Inilah rahsianya dadih Kak Ani sedap, laku dan berkat. Satu kerana dadih itu memang sedap. Yang kedua kerana Kak Ani seorang yang sangat yakin dengan Islam dan pertolongan Allah. 

18 hari bulan ini, Allah jemput Kak Ani menjadi tetamuNya di tanah suci Makkah. Allah Maha Kaya. Hajat Kak Ani 10 tahun dulu dimakbulkan Allah. 

Kak Ani, sampai sana nanti, tolong doakan kami juga noo. Doa supaya kami pun dapat jadi tetamu Allah suatu hari nanti. 

Selamat bermusafir Kak Ani. 

AFNAN HAMIMI
Alor Setar – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -