Daftar pemilih tambahan Dis 2022 dibuka untuk semakan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2022 (DPT BLN12/2022) yang telah diperaku dan diwartakan, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 15 Feb ini, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

- Advertisement -

DPT BLN12/2022 itu mengandungi 39,489 nama warganegara yang berumur 18 tahun ke atas bagi tempoh 1 hingga 31 Dis 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu; 13,759 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,029 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi, katanya.

Ikmalrudin dalam kenyataan hari ini berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my

“Semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau menghubungi hotline SPR di talian 03-8892 7218.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Disember 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam daftar pemilih tersebut,” katanya.

Ikmalrudin  berkata sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam daftar berkenaan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih,  boleh membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Katanya, borang C dan D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -