
KATHMANDU, Nepal: Suami pembantu juruterbang pesawat malang Nepal yang terhempas semalam meninggal dunia dalam nahas pesawat syarikat yang sama,16 tahun yang lalu.
Anju Khatiwada – pembantu juruterbang pesawat Yeti Airlines yang terhempas di Pokhara, Nepal bakal naik pengkat menjadi ketua juruterbang sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara, lapor laman web berita digital, Nepalkhabar.
Namun, beberapa minit sebelum mendarat, bagaimanapun, pesawat ATR-72 dengan 68 penumpang dan empat anak kapal itu terhempas ke dalam gaung sungai di Nayagaun.
“Suami Anju, Dipak Pokhrel, meninggal dunia pada 2006 dalam nahas pesawat Twin Otter milik Yeti Airlines di Jumla,” kata jurucakap syarikat penerbangan Yeti Airlines, Sudarshan Bartaula kepada Reuters.
“Anju membiayai kos latihan untuk menjadi juruterbang dengan wang yang dia peroleh daripada insurans selepas kematian suaminya,” ujar Bartaula.
Menurut Bartuala lagi, Khatiwada telah menyertai Yeti Airlines pada 2010, empat tahun selepas dia kehilangan suaminya itu.
Pesawat 9N AEQ milik syarikat penerbangan itu yang dikendalikan suami Khatiwada telah terhempas pada 21 Jun 2006 ketika dalam perjalanan dari Nepalganj ke Jumla melalui Surkhet, mengakibatkan kematian enam penumpang dan empat anak kapal, termasuk Pokhrel yang ketika juga merupakan pembantu juruterbang, lapor Nepali Times.
“Cuaca cantik” – Juruterbang KC Kamal
“Cuacanya cantik. Penglihatan sangat baik. Landasannya jelas,” kata juruterbang kanan, KC Kamal kepada kawalan trafik udara (ATC) di Kathmandu sebelum berlepas denGAN pesawat Yeti Airlines ATR-72 di bawah kendaliannya, lapor Nepalkhabar.
Kamal telah memulakan kerjayanya sebagai juruterbang pelatih di pesawat enjin berkembar Nepal Airlines pada 1989.
Pada hari kejadian (Ahad 15 Jan), Kamal sedang memberi latihan terakhir kepada Khatiwada yang membuat penerbangan ketiganya ke Pokhara, sebelum dia bakal ditauliahkan sebagai juruterbang sejurus selepas pesawat itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara.
“Itulah tugasan terakhir juruterbang, Kamal dalam penerbangan pesawat Yeti Airlines ke Pokhara,” kongsi seorang juruterbang Yeti Airlines kepada Nepalkhabar.
Merupakan seorang penduduk Biratnagar di Nepal, Khatiwada pula dalam pada itu sebenarnya telah melakukan lebih daripada 6,400 jam masa penerbangan.
“Mayat Kamal telah ditemui dan dikenal pasti, namun mayat Anju masih belum dikenal pasti. Bagaimanapun, dia dikhuatiri sudah meninggal dunia,” ujar Bartaula.
Sementara itu, misteri masih menyelubungi tentang punca nahas berkenaan, memandangkan cuaca cerah ketika kejadian.
Hampir 350 orang maut sejak 2000 dalam nahas pesawat atau helikopter di Nepal – lokasi kepada lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, termasuk Everest – yang mana perubahan cuaca secara tiba-tiba boleh berlaku menyebabkan keadaan berbahaya kepada penerbangan. – HARAKAHDAILY 16/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!