Semangat federalisme dikoyak semula

Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
- Advertisement -

PADA penggal ke-14 jarang kedengaran berita berkaitan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Sedangkan ketika Barisan Nasional (BN) menguasai Putrajaya, JPP memainkan peranan penting.

- Advertisement -

Setiap projek pembangunan dari pusat disalur melalui JPP. Peliknya di negeri lain, peruntukan disalur terus kepada akaun kerajaan negeri. Tidak berlapis-lapis seperti di Kelantan.

JPP paling awal diwujud di Kelantan dan Sabah pada awal 1990-an. Kewujudannya selepas Umno kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Di negeri-negeri yang diterajui Umno, tiada pula agensi bernama JPP.

Ramai menyimpulkan kewujudannya ada kaitan politik. Antara yang sering kita dengar, pemimpin pusat bimbang peruntukan digunakan kerajaan negeri bagi tujuan politik.

Maka disalur segala peruntukan dari Putrajaya melalui JPP. Namun, kita kena tengok juga siapa pula yang mengawal JPP. Biarpun ada pengarah dan organisasinya tersendiri, namun kelibat pemimpin Umno sering kelihatan.

Ini yang menyebabkan rakyat Kelantan tidak faham. Sedangkan dalam tempoh 32 tahun Kelantan ditadbir PAS tiada pula kedengaran ada peruntukan pusat disalah guna.

Kalau ada sudah tentunya ia berita paling popular dalam sejarah. Maka tanya Pak Dollah dari Ketereh, adakah JPP bebas cengkaman politik?

Orang ramai mungkin sudah tahu jawapannya. Pak Dollah tanya lagi, siapa pula Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan.

Kalau dibelek akhbar lama ditemuilah jawapannya. Tidak lain lagi. Pengerusinya bukan pemimpin PAS.

Di celah-celah kemelut PAS-Umno, JPP ada peranan besar. Pengarah dan kakitangannya, lantikan pusat. Peliknya selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14, berita berkaitan JPP kurang kedengaran lagi.

Adun desak mansuh JPP

Mungkin peruntukan pusat disalur terus ke SUK. Tidak bertangga atau berlapis-lapis seperti sebelum 2018. Sebelum ini acap kali di sidang Dun Kelantan ada wakil rakyat mendesak JPP dimansuhkan.

Acap kali kita dengar isu tersebut. Hujah mereka kerana menyusahkan rakyat. Tidak perlu banyak pinggan mangkuk kerana pegawai di SUK juga ada kemampuan urus wang rakyat.

Hujah Adun terbabit ada kebenarannya. Mungkin ramai juga masih ingat. Sebelum ini bayaran royalti petroleum kepada Kelantan diagih kepada JPP.

Menurut laporan media kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan wang ihsan melalui JPP dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bermula 2014. Ia berjumlah lebih RM200 juta.

Apa hubungkait JPP dengan wang royalti. Sedangkan agensi itu seperti tidak diiktiraf rakyat Kelantan.

Akhirnya selepas kerajaan BN tumbang dan Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya pada Mei 2018, wang ihsan disalurkan terus kepada akaun kerajaan Kelantan.

Pada tahun 2020, kerajaan negeri memperolehi lebih RM400 juta wang hasil royalti. Hubungan Kelantan dan Putrajaya juga boleh dianggap mantap. Ketika itu PH mentadbir sendirian tanpa BN.

Malangnya selepas BN bertenggek di dahan kerajaan PH selepas PRU15, kisah lama diagendakan semula. JPP diberi nafas baharu. Maka tidak salah kalau ada orang kaitkan agenda itu di bahu Umno.

Lojiknya, ketika PH mentadbir kerajaan tanpa BN, semangat federalisme dipraktikkan. Namun, selepas PH berganding dengan BN, federalisme dikoyak semula.

Isu tersebut berligar semula selepas Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mendedahkan bantuan banjir yang dijanji perdana menteri diagih melalui JPP.

Ketika melawat mangsa banjir di Kelantan Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera RM50 juta masing-masing untuk Kelantan dan Terengganu. Ia sebagai bantuan awal untuk meringankan beban rakyat.

“Keputusan itu diambil selepas melihat banjir melanda kedua-dua negeri itu lebih ‘parah’ daripada biasa.

“Ini keperluan segera yang melibatkan kebajikan rakyat, jadi peruntukan awal RM1,000 kepada semua keluarga, dan sekiranya ada kemalangan, peruntukan RM10,000 bagi mangsa tersebut,” kata Anwar seperti dilapor media.

Sebelum kedatangan Anwar, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi juga datang meninjau banjir di Kelantan. Media turut melapor timbalan perdana menteri umum kelulusan peruntukan RM12 juta.

Tanya Pak Dollah, adakah semua bantuan itu sudah diterima. Malangnya janji RM1,000 untuk mangsa banjir khabarnya belum diterima lagi. Banjir sudah lama berlalu, lumpur pun telah kering.

Sedangkan era kerajaan PN dan Keluarga Malaysia, selepas banjir surut, bantuan RM1,000 diterima mereka. Nampaknya rakyat dirundung malang semula. – HARAKAHDAILY 16/1/2023

- Advertisement -