KOTA BHARU: Kerajaan PH-BN mengulangi agenda yang pernah dilaksanakan kerajaan BN apabila melanggar semangat federalisme dengan menyalurkan peruntukan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan PH-BN tidak menghormati demokrasi yang mereka laungkan sebelum ini.
“Mereka kembali ke era yang pernah dilakukan kerajaan Umno dan BN ketika mentadbir negara sebelum 2018.
“Rakyat Kelantan juga membayar cukai, jadi tidak wajar mereka didera kerana hanya perbezaan politik antara negeri dan pusat,” katanya di sini.
Baru-baru ini Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mendedahkan peruntukan RM50 juta yang diumum Perdana Menteri bagi membantu mangsa banjir di Kelantan disalur melalui JPP.
Pada Disember lepas ketika melawat mangsa banjir di Kelantan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu bagi membantu mangsa banjir.
Bagaimanapun difahamkan peruntukan tersebut belum lagi diterima mangsa banjir terlibat sehingga sekarang. – HARAKAHDAILY 16/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!