DALAM PAU yang baru selesai kita dengar pimpinan tertinggi Umno memberi justifikasi mengapa mereka memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan PH walau sebelum ini mereka cucuh serangan pada parti berkenaan.
DAP yang sebelum ini dilabel ekstremis dan rasis tiba-tiba setelah ditunggangi dijulang dan dipuja sebagai penyelamat dan rakan baik.
Kerjasama Umno dan DAP sekarang ini dakwa mereka disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa.
DAP tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan kata mereka. Dalam kata lain DAP yang sebelum ini musuh ketat sehingga PAU sebelumnya menegaskan ‘No DAP‘ hari ini rupa-rupanya DAP itu baik dan ikhlas. Moga Umno gembira dengan DAP.
Hari ini setelah selesai PAU pemimpin DAP yang tidak berpura-pura setia kawan itu keluar kenyataan. Timbalan Pengerusi DAP P.Pinang P. Ramasamy mendakwa:
“Zahid mungkin tidak terjejas buat masa ini, tetapi dia seolah-olah menjadi ‘beban’ kepada Umno dan sedikit sebanyak kepada Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan,”.
Cukup berani dan tidak berpura-pura kenyataan Ramasamy ini. Wajar sungguh ahli-ahli Umno dengar dan terima secara terbuka.
Tambah beliau:
“Umno tidak boleh diremajakan tanpa membersihkan imejnya yang ‘dicemari rasuah’ terlebih dahulu, sambil menambah bahawa Zahid nampaknya ‘pemimpin paling tercemar’.”
Kawan baik yang baru dakwa Presiden Umno ‘pemimpin paling tercemar’. Dulu masa berkawan dengan PAS tidak pernah rasanya pemimpin Umno dimaki begitu.
Tapi pemimpin Umno hari ini sudah banyak termakan budi dengan DAP. Ahli-ahli Umno jangan kata apa-apa, sabar dan terima sahaja kenyataan kawan baru ini.
Kalau mereka terus celupar begitu, maka ratiblah sebagaimana soldadu yang mengiringi si Luncai … biarkan biarkan.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 16/1/2023