Dapur rakyat bantu mangsa air pasang besar

Sahar Abdul Majid
- Advertisement -

SANDAKAN: PAS Sandakan dengan kerjasama Khidmat Malaysia, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Sabah Relief dan beberapa NGO lain bersatu tenaga menggerakkan program dapur rakyat untuk mangsa air pasang besar bermula Isnin lalu.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid dalam tinjauannya berkata, sebahagian mangsa air pasang besar Kampung Forest telah ditempatkan di Dewan PPR Taman Harmoni sejak awal bulan lalu.

“Buat masa ini, mangsa-mangsa di sana masak di dapur yang disediakan hanya untuk keluarga masing-masing. Perkara ini dilihat tidak selaras dan menyebabkan kekangan lain timbul,” katanya.

Untuk itu, ujarnya PAS kawasan mengambil inisiatif untuk mewujudkan dapur rakyat bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa air pasang besar khususnya dalam mendapatkan bekalan makanan.

Dalam projek itu, jelasnya PAS bersama beberapa NGO menyediakan bahan mentah untuk masakan dan meraikan kebersamaan memasak untuk santapan mereka.

Sahar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dalam menjayakan program itu.

“Di kesempatan ini, saya merakam ucapan penghargaan buat semua pihak yang terlibat terutama para penyumbang dalam menjayakan misi kemanusiaan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/1/2023

- Advertisement -