SEJAK akhir 70-an serta awal 80-an, PAS dan ABIM berkongsi banyak cita dan impian. Revolusi Iran contohnya, menjadi satu perkara yang dikaji, diadakan perbandingan, diletak sebagai sumber inspirasi. Juga menggaris pengalaman penting serta telah mewujudkan gelombang kekuatan pengaruh gerakan Islam tanah air. Namun PAS dan ABIM kedua-duanya bersetuju ia tidak boleh ‘ditiru’ dalam konteks Malaysia.
Begitu juga hal-hal lain. Dua organisasi ini berkongsi banyak perkara sehinggakan Presiden ABIM sering naik ke pentas ceramah PAS, mengutarakan idea, mengecam tindakan serta cara Umno memerintah negara. Beliau pernah digambarkan sebagai antara pimpinan masa hadapan PAS.
Dalam satu temubual dengan Razali Nawawi yang merupakan Presiden ABIM pertama pada 25 Mei 1998 di Shah Alam, pernah dikatakan Almarhum Datuk Asri Muda selaku Yang DiPertua PAS pada waktu itu telah menawarkan jawatannya kepada Anwar Ibrahim, tetapi ia ditolak. Semua itu satu catatan dan lipatan sejarah sahaja.
Anwar akhirnya melakukan perkara bertentangan dengan pandangan umum iaitu dengan menyertai Umno pada 29 Mac 1982 sehingga menimbulkan perpecahan, kontroversi, pergeseran dan persimpangan antara jemaah-jemaah Islam serta pendukungnya di Malaysia. Pening seketika. Namun sebaliknya di pihak Umno, mereka meraikannya dengan gembira sehingga disebut, “…one of the biggest coups ever achieved by the Umno-led government”.
Anwar dikatakan mahu ‘mencuci Umno daripada dalam’ serta ada yang mengatakan ia adalah satu gerakan terarah daripada tokoh gerakan Islam antarabangsa iaitu Ismail Faruqi yang mahu mendekatkan Dr Mahathir dan ABIM. Banyak juga teori-teori lain. Ia tidak penting pun kerana hakikat akhir Anwar sudah bersama Umno.
Bermula di Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi PAS melalui Zabidi Ali sejak 1978, Anwar bertiket BN merampasnya pada 1982 dan berterusan mewakili rakyat di sana selama 4 penggal.
Terus melebarkan sayapnya dalam Umno, karier politik Anwar menjadi hebat dan setahun selepas masuk parti ‘keramat’ itu, beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983.
Pada tahun 1984, Anwar mengetuai Kementerian Pertanian Malaysia sebelum menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986 dan 1993. Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas dipilih sebagai Naib Presiden Umno untuk menewaskan Tun Ghafar Baba yang diramal sebagai pengganti Tun Mahathir.
Sepanjang tempoh Anwar berada dalam kerajaan ini, beliau kuat dan teruk menghentam serta menyerang PAS termasuklah Negeri Kelantan yang diperintah parti Islam. Hal ini bukan rahsia sehinggakan Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa siang dan malam memohon bantuan Ilahi dalam mengemudi negeri dengan pelbagai tekanan dan hambatan.
Tahun 1998 bermulalah kes liwat dan tuduhan salah guna kuasa ke atas Anwar. Tiada tempat lain yang beliau tuju melainkan kembali rujuk dan memohon ‘perisai’ daripada Almarhum Tok Guru Nik Aziz serta Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Itu tidak terkecuali peranan besar Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor yang menggerakkan pelbagai gerakan bagi membela nasib Anwar. PAS yang selama ini lunyai dipijak serta disepak, telah menjadi baju besi utama yang beliau dambakan. Tok Guru Haji Hadi sendiri penuh iltizam membantu insan yang terzalimi dengan menulis buku bertajuk Qazaf.
Pada 16 Mei 2018 pula, Dato’ Seri Anwar diberikan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Ini satu titik tolak kepada permulaan episod baharu karier politik beliau sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri kini.
Persoalannya adalah, mengapa setelah banyak kali pemimpin Kelantan termasuk Almarhum Tok Guru Nik Aziz dan rakyat negeri ini, bahkan Sultan negeri ini, menghulur susu kepadanya, namun tuba jua yang mahu dibalas?
Jika dahulu Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) pernah menjadi duri dalam daging, kerajaan dalam kerajaan yang meninggalkan luka yang tidak sedikit kepada Kelantan, mengapa kini Anwar mahu mengembalikan semua kisah pahit itu?
Kenapa RM50 juta dana banjir untuk rakyat mahu diberi kepada JPP? Ajaib sungguh. Memang payah dah nak jumpa orang yang tak pandai mengenang budi sepertinya. Jarang anak Melayu sepertimu.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 14/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!