BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membuat penyelidikan mengkaji keberkesanan dan keselamatan produk untuk kegunaan haiwan ternakan kambing dan biri-biri di Malaysia dan negara serantau.
Penyelidikan itu dilaksanakan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dengan kerjasama syarikat Bio Angle Vacs Sdn Bhd (BAV) bagi menjalankan projek penyelidikan STVAC7 Clinical Study.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, Projek penyelidikan itu bertujuan mengembangkan pengetahuan dan kepakaran kedua-dua belah pihak.
Katanya, ia merupakan inisiatif kedua-dua pihak untuk memberi manfaat sinergi melalui perkongsian pengalaman, pengembangan pengetahuan dan kepakaran.
“Projek tersebut melibatkan kajian klinikal untuk menilai serta memastikan keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin STVac terhadap kambing dan biri-biri bagi pencegahan penyakit ‘pneumonia’.
“Pelaksanaan projek ini melibatkan dana oleh BAV berjumlah RM510,000 dan tempoh penyelidikan adalah selama 19 bulan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian memorandum perjanjian (MoA) di sini.
Pada majlis tersebut pertukaran dokumen MoA disempurnakan Dekan FPV, Dr Farhan Hanif dan Ketua Pegawai Eksekutif, BAV, Noor Shazreena Ishak serta disaksikan Pengerusi BAV Sdn Bhd Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Dr Nik Maheran juga berkata melalui kolaborasi strategik tersebut bakal menjadi titik permulaan untuk mempromosi dan mengkomersil perkhidmatan serta produk industri bioteknologi yang berinovasi.
Tambah beliau, projek penyelidikan itu menjadi pengukur penting bagi memastikan produk-produk inovatif negara mendapat tempat dan berada di pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Dr Mohd Daud berkata, kerjasama BAV dan UMK untuk memperkasakan kolaborasi di antara Industri dan akademik bagi aktiviti penyelidikan, pembanguan dan pengkomersilan produk. – HARAKAHDAILY 13/1/2023