RANTAU PANJANG: Penduduk Rantau Panjang tidak menghalang sebarang pembinaan projek yang memberi manfaat kepada mereka termasuk Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Projek itu sebelum ini didesak penduduk untuk dibina segera bagi mengelakkan limpahan Sungai Golok ketika musim tengkujuh.
Projek tebatan terbabit dilaksanakan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui JPS Fasa 1 bermula 23 April 2018.
Ia melibatkan kos RM656 juta dilaksanakan bagi mengurangkan kejadian banjir dan melindungi hampir 16,800 penduduk yang terjejas akibat banjir akibat limpahan Sungai Golok di Tumpat dan Pasir Mas.
Projek tebatan terbabit dijangka siap sepenuhnya Ogos 2024. Kerja-kerja dilaksanakan termasuk mendalamkan muara Sungai Golok.
Malah pada 21 Disember lepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan mempercepatkan projek PLSB Sungai Golok Fasa 1 dan 2.
Bagaimanapun hari ini sebahagian penduduk berhimpun dan menganggap
pembinaan benteng berkenaan memberi kesan terhadap aktiviti harian mereka.
Seorang penduduk, Yusnaniza, 38, berkata, keadaan banjir sekarang memberi kesan begitu teruk sehingga menyebabkan banyak kerosakan ditanggung penduduk.
“Setiap kali hujan kami berasa trauma kerana banjir boleh berlaku sehingga ada kediaman tinggal paras bumbung,” katanya ketika ditemui pada himpunan tersebut.
Menurut penduduk sebanyak 67 kampung kawasan Rantau Panjang berdepan dengan banjir pada Disember lepas.
Seorang lagi penduduk, Roslan Deraman, 44, berkata, sejak keluarganya tinggal puluhan tahun lalu di situ tidak pernah berlaku banjir.
“Kami menggesa kerajaan membuat kajian semula dan kami menyeru pihak kementerian terlibat turun ke kawasan dan berbincang dengan penduduk,” katanya.
Che Daud Che Man, 65, dari Kampung Gual Tok Deh turut meluahkan rasa kecewa kerana projek tebatan mengundang banjir di kampung terbabit.
Sementara itu anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, projek tebatan fasa pertama kini siap lebih 70 peratus.
Katanya, fasa kedua Sungai Golok masih berada di peringkat perolehan dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan projek itu dijalankan. – HARAKAHDAILY 13/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!