Jabatan HEV bantu veteran ATM terkesan banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) turut menyalurkan bantuan banjir kepada veteran ATM yang terkesan akibat bencana banjir di Rantau Panjang dan Hulu Terengganu.

- Advertisement -

Ketua Pengarahnya Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, aduan dan suara veteran sentiasa menjadi keutamaan pihaknya, lebih-lebih lagi menyediakan pelbagai skim bagi membantu golongan memerlukan.

Katanya, JHEV ATM komited menjaga kebajikan veteran ATM dari pelbagai aspek termasuk akibat bencana alam antaranya ribut, kebakaran dan sebagainya.

“JHEV ATM peka dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM sejajar jasa bakti dan pengorbanan dicurahkan mereka selama ini dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya pada kenyataan di sini.

Menurut JHEV ATM majlis penyampaian sumbangan itu akan diadakan di Masjid Baiturrahman Kampung Gual Nering, Rantau Panjang pagi esok.

Sumbangan terbabit terdiri daripada Kit Bantuan Banjir yang mengandungi barangan penjagaan diri, bantuan makanan sumbangan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan PUSPANITA Cawangan Kecil JHEV ATM.

Zambery juga berkata, penyerahan sumbangan bantuan banjir tersebut diharap dapat meringankan beban mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 13/1/2023

- Advertisement -