Exco Perlis ucap takziah kepada mangsa kebakaran

- Advertisement -

PADANG BESAR: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Bantuan Bencana negeri, Wan Badariah Wan Saad mengucapkan takziah mangsa kebakaran di Felcra Lubuk Sireh di sini, semalam.

- Advertisement -

Beliau terus bergegas ke tempat kejadian setelah mendapat maklumat mengenai kejadian itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran rumah di sini.

“Kak Wan mendapat makluman pada jam 1.45 petang dan terus ke lokasi kejadian, api telah berjaya dipadam tetapi terdapat seorang mangsa yang terkorban berusia dalam lingkungan 50-an,” katanya

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.27 petang bagi melakukan tugas-tugas menyelamat mangsa terlibat.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 1.35 petang oleh pasukan penyelamat.” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian oleh anggota JBPM telah mendapati mayat mangsa rentung dalam sebuah bilik di rumah tersebut.

Katanya, siasatan juga mendapati mengsa terbakar 90 peratus akibat daripada kejadian itu.

“Rumah berkenaan turut mengalami kemusnahan sebanyak 75 peratus. Siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri di rumah itu sewaktu kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi menjalani proses bedah siasat selanjutnya.

Turut hadir di tempat kejadian ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Titi Tinggi Izizam Ibrahim dan pihak Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor. – HARAKAHDAILY 13/1/2023

- Advertisement -