MENDENGAR ucapan Ketua Pemuda Umno dalam PAU petang ini, bercampur-baur perasaan. Sama ada untuk gembira atau berduka.
Gembira kerana ucapan Ketua Pemuda Umno ini ibarat bacaan talkin buat Umno. Sedih kerana bakal terkuburnya parti politik Melayu. Kenapa saya sebut begitu?
Satu, ucapan Asyraf Wajdi tidak tertumpu kepada mencari punca sebenar kekalahan teruk Umno dalam PRU15. Umno hanya dapat 26 kerusi sahaja.
Apa yang dibuat oleh Asyraf menutup bangkai punca sebenar dengan helaian benang-benang falasi yang beremosi dan tiada sandaran.
Kekalahan Umno, disalahkan pihak lawan bukan melihat kelemahan sendiri.
Lebih parah disuluhkan punca Umno kalah adalah kerana ada ahli Umno yang berkempen dalam PRU15 tegur parti dan Presiden.
Dua, lebih melucukan dengan keras Asyraf berteriak agar pemuda jangan takut untuk menegur dan jangan tidak bersuara hanya nak jaga hati kawan.
Tapi dalam ucapan yang sama, calon yang kalah dalam tiga PRU itu amat teliti dan cermat berucap menjaga hati dan perasaan Presiden. Begitu sopan beliau. Tidak tercuit langsung.
Tiga, Asyraf juga menasihati pemuda untuk tidak tuding menuding cari kesalahan teman di atas kekalahan yang lalu.
Tapi dalam ucapan sama, dialah yang paling kuat panggil kawan-kawannya ahli Umno yang menegur Presiden dan parti sebagai pengkhianat. Dia tuding kaki terus.
Empat, Asyraf memuji SPRM tangkap suspek penyelewengan dana RM94 bilion. Tersenyum puas nampaknya dia, sedangkan Tengku Zafrul kata tiada apa-apa penyelewengan.
Dalam masa yang sama dia juga menunjukkan kemarahan terhadap dakwaan terpilih yang dikenakan kepada beberapa pimpinan Umno. Siap suruh saman Peguam Negara yang dilantik oleh PH dulu, yang kini jadi kawan sebantal Umno.
Secara umumnya, kelihatan ucapan Asyraf Wajdi tetap angkuh walau tewas dan hanya ada 26 kerusi Parlimen.
Punca kalah akibat keputusan Presiden bertanding solo, dan membuang calon-calon berpotensi menang ditutup ketat dengan bebenang konotasi naratif longgar.
Tahniah.
AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 12/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!