Kenaikan harga pakej umrah sudah dijangka

Abdul Malik Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga pakej umrah sudah dapat dijangkakan apabila beberapa bulan lalu, pihak hotel di Arab Saudi telah memaklumkan pihaknya sedang berhadapan dengan kemasukan jemaah umrah yang meningkat secara mendadak dari seluruh dunia pada musim 1444H.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Urusan, AZ Zuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd. (AZ Zuha), Abdul Malik Abd Rahman, jemaah daripada negara-negara dengan populasi yang besar seperti Mesir, Turkiye, Indonesia, Iran dan lain-lain baru mula dibenarkan untuk menunaikankan umrah bermula awal musim 1444H setelah tertunda hampir tiga tahun sejak awal pandemik Covid-19. 

Hal ini, menyebabkan berlakunya kemasukan jemaah umrah dari negara-negara dengan populasi yang besar berkenaan ke kota suci Mekah dan Madinah dalam kuantiti yang sangat besar.

Beliau berkata, pada penghujung Oktober 2022 yang lalu, pihak AZ Zuha telah menerima kenyataan rasmi melalui e-mel daripada pihak hotel di Arab Saudi berkaitan dengan kenaikan harga yang akan dikenakan.

“Apa yang mengejutkan, pihak kami adalah kadar kenaikkan adalah sangat luar biasa. Lebih membimbangkan pihak kami adalah tarikh pelaksanaan tersebut berkuat kuasa 5 hari selepas notis pendek ini diberikan.

“Namun begitu, pihak syarikat kami telah pun membuat bantahan terhadap kenaikan ini,” jelasnya kepada HarakahDaily

“Bagaimanapun, pihak mereka hanya memberi respons kepada kami dengan memberikan dua pilihan sahaja-  pertama, kami perlu membatalkan tempahan yang sedia ada. 

“Sementara pilihan kedua, pihak kami perlu menerima harga baharu yang telah dinyatakan oleh pihak hotel di sana,” tambahnya.

Menurut Abdul Malik lagi, mereka juga telah dimaklumkan bahawa syarikat-syarikat umrah yang lain termasuk dari negara-negara lain telah bersetuju dengan ketetapan baharu berhubung kenaikan ini. 

Berdasarkan maklum balas berkenaan, beliau mengakui ia merupakan suatu tamparan yang hebat buat AZ Zuha walaupun telah sekian lama membina hubungan yang sangat erat dengan pihak hotel berkenaan. 

“Oleh yang demikian, bak kata pepatah Melayu ‘ibarat luah mati emak, telan mati bapa’, walaupun perit untuk menerima kenyataan ini, agensi AZ Zuha terpaksa menerima kenaikan harga pakej umrah berkenaan  untuk mengimbangi risiko yang akan diterima dan bagi mengelakkan kemudaratan iaitu ketiadaan hotel untuk menempatkan para jemaah di Tanah Suci kelak,” ujarnya. 

Beliau menjelaskan lanjut bahawa  kenaikan harga bilik hotel untuk jemaah pada kali ini telah mencecah 40 peratus hingga 200 peratus. 

“Perkara seperti ini tidak pernah berlaku pada sebelum ini. Pada kebiasaannya sebelum ini, kenaikan harga bilik hotel  hanya antara  5 peratus hingga 15 peratus; dan pihak AZ Zuha  akan menyerap kos kenaikan tersebut tanpa meminta jemaah membuat sebarang penambahan bayaran,” jelas beliau. 

Sepanjang 10 tahun agensi Az Zuha beroperasi, ujarnya lagi, inilah pertama kali agensi ini terpaksa berhadapan dengan situasi yang sangat getir dan mencabar apatah lagi masalah ini melibatkan para jemaah.

Beliau turut memberitahu, harga kebiasaan yang diterima oleh pembekal bagi bilik berdua untuk hotel bertaraf lima  bintang ialah sebanyak SR500 (RM581), kemudian berlaku kenaikan pada November sehingga SR900 (RM1,046). 

Pada pertengahan Disember lalu, berlaku lagi kenaikan sehingga SR1200 (RM1,395) dan kini telah mencecah SR1500 (RM1,744)  hingga SR2500 (RM2,906). 

Di samping itu, pihak agensi Az Zuha turut mendapati faktor-faktor lain yang menyebabkan berlaku kenaikan pakej harga umrah kali ini, juga adalah disebabkan peningkatan harga tiket penerbangan yang mencecah sehingga 80 peratus berbanding harga tiket pada awal pembukaan semula industri umrah tahun ini. 

“Kenaikan harga tiket ini telah berlaku lebih awal pada awal musim 1444H Oleh itu, saya berkongsikan kronologi ini kepada semua agar para semua orang dapat memahami situasi semasa yang sedang berlaku di dalam industri umrah akhir-akhir ini,” katanya.  – HARAKAHDAILY 12/1/2023

- Advertisement -